Umno dengan sejarah

Umno dengan sejarah

Esok ulangtahun Umno yang ke-80? Bagi saya Umno yang sepatutnya berusia 80 tahun yakni yang lahir pada 1946 sudah tiada. Yang ada Umno yang lahir pada 1988.

Mohsin Abdullah

Beberapa hari lalu, lebih tepat pada 1 Mei, berkatalah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, meminta ahli partinya berhenti ‘menjual sejarah’. Mungkin apa yang beliau kata boleh mencetuskan pelbagai andaian tetapi apa yang Tok Mat mahu sampaikan ialah ahli Umno jangan leka dibuai nostalgia dan rintihan emosi.

Menurut saya, ahli dan juga pemimpin Umno sekarang janganlah syok sendiri asyik mengenang zaman kegemilangan. Zaman itu sudah berlalu lantas Tok Mat tidak mahu Umno asyik ‘jual sejarah’.

Meskipun begitu, sejarah membicarakan perkara tentang masyarakat manusia, peradaban dunia dan perubahan-perubahan yang berlaku pada sifat-sifat masyarakat, menurut Ibn Khaldun. Orang Melayu lazim berpesan “sejarah mengajar kita menjadi lebih dewasa”, yakni memahami kesilapan dan kejayaan masa lalu untuk bertindak lebih bijak.

Begitu pentingnya sejarah hinggakan kerajaan sejak 2013 mewajibkan lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pada Januari lalu, PMX mengumumkan semua sekolah termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah aliran Sijil Peperiksaan Bersepadu atau UEC diwajibkan mengambil subjek Sejarah dalam SPM.

Tidak mungkin Tok Mat tidak tahu itu semua semasa meminta Umno berhenti ‘jual sejarah’ dan fokus pada masa depan.

Enam hari kemudian, Khairy Jamaluddin yang sekarang sudah bukan bekas Umno tampil bercakap pasal sejarah. Katanya, kekeliruan orang ramai yang semakin menular mengenai aspek sejarah Malaysia harus dipersalahkan ke atas ahli akademik yang ‘penakut’.

Dalam satu sedutan daripada podcast Keluar Sekejap, KJ mengkritik professor dan pakar sejarah yang katanya berdiam diri ketika maklumat salah mengenai masa lampau negara tersebar. Beliau tidak pula memetik apa-apa kes atau contoh secara spesifik.

“Kepada tokoh sejarah di Malaysia ini, apa guna awak jadi pensyarah di IPTA, dibayar oleh duit pembayar cukai kalau awak takut untuk tampil mempertahankan sejarah negara,” kata Khairy. Keras serangan itu dan ada lagi tapi tak perlulah saya ulangi. Lagipun sudah ada kenyataan balas para akademik dan ahli sejarah.

Saya cuma ingin menyatakan bahawa semasa Tok Mat kata yang beliau kata yang saya tulis tadi, beliau berucap pada majlis yang dipanggil Konvensyen Umno ke-80 di ibu negara. KJ turut hadir. Konvensyen itu diadakan lebih awal daripada hari ulang tahun parti yang ke-80 esok. Oleh kerana Tok Mat dan KJ orang kuat parti dan bercakap mengenai sejarah, saya juga ingin bercakap mengenai sejarah Umno.

Mengikut sejarah dan berdasarkan fakta dan informasi sahih, Umno yang dilahirkan pada 11 Mei 1946 diisytiharkan haram oleh Hakim Harun Hashim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Harun dilapor berkata beliau tidak ada pilihan melainkan mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah bawah Akta Pertubuhan. Ini sekadar memendekkan cerita namun perlu juga dinyatakan keputusan itu berikutan satu tindakan sivil yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jun 1987 oleh 11 ahli Umno.

Kumpulan 11 orang itu memohon antara lain suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung Umno pada April 1987 bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah, dan dianggap terbatal serta tidak mempunyai kesan. Pada pemilihan 1987, Dr Mahathir Mohamad mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti tipis 43 undi pada perebutan jawatan presiden.

Kesimpulannya kumpulan 11 orang itu mahu kemenangan Mahathir dibatalkan tetapi apa yang berlaku ialah Umno yang diharamkan. Ini sejarah. Butir terperinci boleh didapati dalam talian dan juga bahan cetak yang ada di perpustakaan dan pejabat media.

Lanjutan itu banyak pihak cuba menghidupkan semula Umno. Butiran ini juga boleh didapati online atau cetakan, dan tidak ada siapa yang takut menceritakan sejarah ini. Tengku Razaleigh juga banyak membuat huraian sejak dahulu. Baru-baru ini beliau sekali lagi beri his side of the story. Podcast yang menyiarkan penjelasan beliau boleh diikuti di YouTube.

Apa pun Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri semasa Umno diharamkan berjaya menubuhkan apa yang dinamakan Umno (Baru) untuk menggantikan atau mengambil alih Umno asal. Beliau mendaftarkan Umno (Baru) pada 13 Febrari 1988. Awal penubuhannya perkataan ‘Baru’ diletakkan dalam kurungan selepas perkataan ‘Umno’, itu pun perkataan ‘Baru’ dikaburkan.

Lama-kelamaan ‘Baru’ lenyap maka tinggallah hanya ‘Umno’ sehingga ke hari ini. Penjelasan pemimpin parti waktu itu ialah sesebuah parti baharu, kata mereka, yang over a period of time menunjukkan ciri-ciri asal akan atau boleh dianggap parti asal. Wallahu a’lam.

Ramai pemerhati politik termasuk saya bersetuju dengan pandangan bahawa Umno (Baru) ialah parti baharu jika dilihat pada segi undang-undang tetapi telah berjaya mewujudkan naratif kesinambungan dengan Umno asal. Saya pernah baca satu hantaran di Facebook yang menyifatkan apa yang berlaku sebagai manipulasi sejarah halus yang berkesan.

Apa pun, esok ulangtahun Umno yang ke-80? Bagi saya Umno yang sepatutnya berusia 80 tahun yakni yang lahir pada 1946 sudah tiada. Yang ada Umno yang lahir pada 1988. Oleh itu, bagi saya, Umno yang ada sekarang berusia 38 tahun meskipun perkataan ‘Baru’ sudah lenyap. Birthday ke-38 Umno 1988 ialah pada 13 Februari lalu.

Terpulang kepada Umno sama ada mahu anggap dirinya sudah tua berusia 80 tahun atau masih muda berusia 38 tahun. Diakui Umno boleh berkata suka hati mereka lah nak celebrate ulang tahun ke-80. Betul memang suka hati Umno.

Apa yang dicatat di atas bukan cerita baru. Pasal ulang tahun Umno is also not new. Namun to those who put a high premium on accuracy kenalah tengok history. After all, pemimpin Umno suka berbicara pasal sejarah.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.