
Ketua Pemudanya, Dr Akmal Saleh, berkata langkah rasionalisasi dan subsidi bersasar itu penting ketika negara berdepan cabaran ekonomi supaya bantuan dapat disalurkan kepada golongan benar-benar memerlukan, khasnya B40 dan M40.
Menurutnya, subsidi dinikmati golongan berpendapatan tinggi tidak memberi kesan besar kepada mereka berbanding manfaat yang boleh dirasai kumpulan berpendapatan rendah.
“Jadi, lebih elok ambil subsidi yang T20 ini diberikan kepada B40 dan juga M40. Sebab kalau kata 200 liter kita akan belanjakan dalam RM200 hingga RM400 itu tak terasa bagi golongan T20.
“Tapi kalau RM200 hingga RM400 ini sangat memberikan kesan kepada B40 dan M40,” katanya dalam sidang media selepas Rimbun 2.0 anjuran sayap itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Rimbun 2.0 turut mencadangkan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang bermula pada kadar 3% dengan merujuk pandangan beberapa panel, termasuk bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah, yang menyatakan negara berpotensi meraih lebihan hampir RM100 bilion, jika GST diteruskan sejak 2018.
Akmal berkata, ia antara 25 resolusi yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik dan MKT Umno pada Isnin ini, sebelum dicadangkan kepada kerajaan sebagai antara dasar ekonomi negara.
Berhubung kemungkinan Barisan Nasional bergerak solo pada PRU16, beliau berkata, parti itu mempunyai rekod pentadbiran baik di Johor dan Melaka yang boleh dijadikan bukti kemampuan BN mentadbir negara semula.
Mengenai kepulangan Khairy Jamaluddin dalam Umno semula, katanya, tiada sebarang “deal” atau rundingan sulit dengan mana-mana pihak berhubung kemasukan semula bekas menteri kesihatan itu dalam parti.
“Dealnya adalah Rumah Bangsa. Sebab ini Rumah Bangsa, jadi kita mengalu-alukan sesiapa yang nak masuk. Tak ada deal bawah tanah ke atas meja ke, tak ada. Siapa yang rasakan perjuangan Umno ini perjuangannya, kita mengalu-alukan kemasukannya.
“KJ pun tak tahu sama dia nak bertanding atau tidak bertanding. Jadi, KJ pun dah keluar kenyataan dia nak masuk Umno atas sebab dia sayangkan Umno.”