
Projek Sama mengingatkan bahawa semua parti di dalam gabungan besar, iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), sama ada sedang bersekutu sekarang atau pernah bersekutu pada masa lalu.
“Keadaan ini menghapuskan mana-mana kedudukan moral tertinggi mana-mana parti yang mendakwa parti lain mempunyai sekutu yang korup atau tidak layak,” menurutnya dalam kenyataan.
Justeru, Projek Sama berkata, parti-parti ini harus berhenti berikrar untuk tidak bekerjasama dengan parti tertentu, memandangkan mereka mungkin akan bertindak memungkirinya selepas pilihan raya.
Kenyataan ini terutamanya benar menjelang PRU16, yang dijangka diadakan pada penghujung tahun ini, kerana pilihan raya kali ini dijangka akan mencetuskan kembali pertembungan banyak penjuru di banyak kerusi.
“Hanya keputusan pilihan raya yang akan menentukan parti mana yang akan membentuk rakan kongsi kerajaan persekutuan dan negeri, selepas melalui siri rundingan pelbagai hala,” katanya.
“Maka, setiap parti harus mengelak daripada membuat janji mutlak untuk tidak berkongsi kuasa dengan parti lain, kerana tindakan melanggar janji selepas pilihan raya pastinya akan mencetuskan kemarahan pengundi,” katanya.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Projek Sama hari ini adalah bersempena memperingati PRU pada 2018, yang menyaksikan BN kehilangan kuasa pada peringkat persekutuan buat julung kalinya dalam sejarah.
PH selepas itu berjaya membentuk kerajaan persekutuan dengan sokongan Warisan. Namun, kerajaan itu tumbang pada Februari 2020 berikutan insiden Langkah Sheraton yang mencetuskan kontroversi.
Bersatu kemudian bekerjasama dengan PAS, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa pihak lain bagi membentuk pentadbiran baharu.
Bagaimanapun, selepas PRU pada 2022 menyaksikan situasi Parlimen tergantung, pentadbiran Anwar Ibrahim dibentuk hasil kesepakatan PH dan BN, dengan musuh tradisi seperti Umno dan DAP saling bekerjasama selepas puluhan tahun berseteru.
Kerajaan Anwar juga mendapat dukungan kuat daripada GPS dan GRS.
Menurut Projek Sama, perkembangan ini sebenarnya menguntungkan pengundi, walaupun peralihan daripada politik tegar bersifat ‘hitam putih’ itu agak sukar diterima pada awalnya.
Pertama, menurut mereka, landskap politik yang pelbagai dan terpecah ini menawarkan variasi pilihan yang lebih meluas di kertas undi.
Kedua, ia berjaya mengikis sentimen perasan mulia yang sering dijadikan senjata oleh parti-parti politik untuk memburuk-burukkan pesaing mereka.
“Perkara ini mampu membawa kesan positif kepada hubungan antara kaum di negara kita, kerana permusuhan politik lazimnya dicampuradukkan dengan sentimen perkauman.
“Segala retorik dan aksi berlagak hero oleh ahli dan parti politik kini semakin dipandang sinis serta sukar dipercayai oleh masyarakat,” katanya.