Zahid sebut ‘resah orang Melayu’, kuasa politik melemah

Zahid sebut ‘resah orang Melayu’, kuasa politik melemah

Presiden Umno berkata perkara itu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai isu perkauman atau penolakan terhadap perpaduan.

Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan bahasa dan budaya Melayu yang semakin ketara akibat globalisasi dan teknologi digital, sambil menyalahkan media sosial jadi ruang prasangka dan sindiran. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi memberi amaran berkait keresahan yang semakin meningkat dalam kalangan orang Melayu berhubung pengaruh yang kian lemah dalam pelbagai sektor.

Ketika merasmikan musyawarah bertujuan menangani keresahan tersebut hari ini, Zahid berkata perhimpunan para pemikir dan pemimpin Melayu daripada pelbagai bidang itu bukan bertujuan menyemarakkan ketakutan, mencetuskan perbalahan, atau menuding jari mencari kesalahan.

“Kita ramai pada bilangan, tetapi semakin lompong terhadap penguasaan dan pemilikan. Kita gemilang pada sejarah, tetapi semakin resah melakar masa depan. Kita megah dengan warisan, tetapi semakin khuatir mendepani zaman.

“Kita berhimpun atas satu kesedaran bahawa keresahan bangsa tidak boleh dibiarkan menjadi keluhan dan perlu digerakkan dalam satu bentuk tindakan,” katanya yang juga presiden Umno.

Beliau berkata, ‘keresahan orang Melayu’ tidak seharusnya disalah tafsir sebagai isu perkauman atau penolakan terhadap perpaduan nasional.

“Ini soal tanggungjawab terhadap bangsa teras yang menjadi salah satu tunjang kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara,” katanya.

Zahid berkata, keresahan mula timbul pada 2018, merujuk perubahan kerajaan persekutuan yang kemudiannya diikuti pandemik Covid-19 serta beberapa peristiwa besar lain yang menyebabkan tekanan berpanjangan terhadap orang Melayu.

Beliau mendakwa, berlaku lebih banyak penghinaan secara terbuka terhadap Islam dan institusi diraja sejak kebelakangan ini, dengan memetik jenaka ‘ham’ oleh pelawak Harith Iskander, penghinaan terhadap Sultan Selangor, serta percubaan yang gagal untuk meratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menentang diskriminasi kaum atau ICERD.

“…perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti umat Islam semuanya mengguris hati dan menimbulkan persoalan besar tentang nilai hormat terhadap asas negara,” katanya.

Zahid menyuarakan rasa kesal kerana orang Melayu tidak menguasai rantaian nilai dalam ekonomi, di mana usahawan Melayu masih beroperasi pada skala kecil, manakala ekuiti Bumiputera pula masih jauh daripada sasaran ditetapkan kerajaan.

Beliau turut berkata, orang Melayu mempunyai mobiliti sosial yang lemah, dengan sektor pendidikan seolah-olah tidak lagi mampu menjamin pekerjaan, kestabilan, serta masa depan bagi generasi muda.

“Isu pendidikan bukan lagi sekadar akses kepada universiti, tetapi kesepadanan antara ilmu, kemahiran dan keperluan industri.

“Namun, di sebalik kegelisahan ini, TVET mesti tampil sebagai laluan baharu mobiliti sosial Melayu – bukan pilihan kedua, tetapi jalan utama melahirkan tenaga mahir, teknologis, usahawan dan pencipta nilai baharu negara.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap bahasa dan budaya Melayu yang dilihat semakin terhakis akibat arus globalisasi dan teknologi digital, sambil menyalahkan media sosial yang diguna sebar prasangka dan sindiran.

“Perpaduan nasional semakin teruji apabila media sosial menjadi ruang sindiran dan prasangka antara kaum. Istilah seperti ‘Type M’, ‘Type C’, dan ‘Type I’ mungkin bermula sebagai gurauan, tetapi akhirnya menjadi bahasa kemarahan tersirat.”

Katanya, orang Melayu telah kehilangan dominasi politik mereka, yang dikaitkan dengan perpecahan dalaman dan ‘politik emosi’.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, berkata politik Melayu masih terbelenggu dendam, prasangka, dan perebutan tidak berkesudahan.

“Politik orang Melayu mesti kembali kepada akal, adab dan strategi bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk memastikan bangsa ini terus mempunyai kuasa menentukan masa depannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.