RUU had tempoh PM, asing AG-pendakwa raya bentang Isnin

RUU had tempoh PM, asing AG-pendakwa raya bentang Isnin

Menteri Azalina Othman Said harap pembentangan serta perbahasan kedua-dua RUU itu mendapat sokongan rentas parti demi memperkukuh sistem perundangan serta demokrasi.

dewan rakyat
RUU berkaitan pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya, dan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri akan dibentang bulan ini dan Mac. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-undang (RUU) berkaitan pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya, dan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri akan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata pembentangan RUU pengasingan peranan untuk bacaan kali kedua akan dilakukan pada 2 Mac, manakala pengehadan tempoh pula pada 3 Mac dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka membentangkannya.

Menurut Azalina, cadangan pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya bertujuan memperkukuh prinsip kebebasan institusi, selain memastikan ketelusan serta keadilan dalam sistem perundangan negara.

“Antara perkara utama dicadangkan termasuk pelantikan pendakwa raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicara atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, serta pemberian kuasa pendakwaan,” katanya.

Azalina berkata demikian semasa program taklimat berhubung isu RUU berkenaan bersama ketua editor berita media tempatan.

RUU itu turut memperincikan kedudukan pendakwa raya setara dengan peguam negara dari segi hierarki dan perkhidmatan, selain menetapkan kriteria utama seorang pendakwa raya iaitu perlulah sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman dalam litigasi serta tempoh lantikan selama tujuh tahun.

Sementara itu, bagi pembentangan RUU pengehadan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, Azalina berkata tempoh perkhidmatan perdana menteri akan dikira secara terkumpul sepanjang hayat perkhidmatan, sama ada secara berturutan atau tidak.

Katanya, apabila perdana menteri terhenti memegang jawatan kerana sampai tempoh agregat 10 tahun, anggota Jemaah Menteri juga terhenti memegang jawatan.

Azalina berkata tempoh peralihan kuasa kepada perdana menteri baharu turut diperuntukkan dalam RUU berkenaan.

“Dalam tempoh peralihan sehingga perdana menteri baharu dilantik mengikut Fasal 2(a) Perkara 43, perdana menteri dan anggota Jemaah Menteri yang terhenti memegang jawatan akan melaksanakan tugas-tugas terhad berkaitan dengan pentadbiran harian kerajaan sahaja,” katanya.

Azalina memaklumkan kedua-dua RUU itu dipersetujui Jemaah Menteri dan berharap pembentangan serta perbahasan kedua-dua RUU itu mendapat sokongan rentas parti demi memperkukuh sistem perundangan serta demokrasi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.