
Semasa undian belah bahagi petang tadi, seramai 146 Ahli Parlimen menyokong RUU tersebut, manakala 44 tidak mengundi dan 32 tidak hadir.
Pindaan Perlembagaan ini, yang dibentangkan sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026, mahu mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, dan terpakai ke atas bekas perdana menteri, sekiranya ia diluluskan Parlimen.
Ia memerlukan sekurang-kurangnya 148 ahli Dewan Rakyat menyokong daripada 222 orang.
Sementara itu, Timbalan Speaker Alice Lau berkata lapan Ali Parlimen kerajaan tidak hadir.
“Ahli Parlimen Pakatan Harapan 100% hadir dan sokong,” katanya di Facebook.
Dalam satu kenyataan segera, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata beliau amat dukacita dengan keputusan ini, mengatakan semua 40 wakil rakyat parti itu hadir untuk menyokong pindaan tersebut.
“Masyarakat sivil dan pengundi yang ingin melihat reformasi institusi dalam negara perlu mengecam dan mempersoalkan Ahli-ahli Parlimen yang tidak hadir dan tidak menyokong pindaan ini termasuk blok pembangkang,” kata Ahli Parlimen Seremban itu.
Sementara itu, semua wakil rakyat PKR hadir untuk pengundian ini, menurut Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
“Semua Ahli Parlimen PKR hadir dan mengundi sokong,” katanya.