Kumpulan reformasi pilihan raya cadang akta penggal tetap Parlimen

Kumpulan reformasi pilihan raya cadang akta penggal tetap Parlimen

Bersih cadang akta untuk mengurangkan pertukaran perdana menteri atau kerajaan pada pertengahan penggal.

fmt PARLIAMENT parliment
Bersih kata akta penggal tetap Parlimen akan mengurangkan pergeseran kuasa.
PETALING JAYA:
Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih, mencadangkan akta penggal tetap Parlimen untuk mengurangkan pertukaran perdana menteri atau kerajaan pada pertengahan penggal.

Jawatankuasa pemandunya berkata pertukaran yang kerap dalam masa yang singkat akan mewujudkan kerajaan yang tidak stabil, “sebagaimana kita lihat sebelum ini pasca Langkah Sheraton”.

Menurutnya, akta tersebut akan mengurangkan pergeseran kuasa dan “mengangkat prinsip demokrasi berparlimen ke peringkat yang lebih baik.”

Bersih mencadangkan akta tersebut dalam seruan kepada Ahli Parlimen supaya menyokong rang undang-undang berkaitan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri.

RUU pengehadan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal itu dibentangkan untuk bacaan kali di Dewan Rakyat, hari ini, sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026.

Media diberitahu pindaan itu dirangka untuk mengambil kira tahun seseorang sudah berkhidmat sebagai perdana menteri, maka seseorang yang telah berkhidmat selama 10 tahun tidak boleh dilantik semula.

Bersih mengatakan RUU itu manifestasi agenda reformasi institusi yang memberi kesan baik untuk jangka masa panjang.

“Sekiranya RUU ini diluluskan, ia menjadi mekanisme untuk mengelakkan pemusatan kuasa perdana menteri yang memegang kuasa untuk satu tempoh yang lama yang membawa kepada kediktatoran,” menurut kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.