
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata cadangan itu langkah penting dalam agenda reformasi institusi kerajaan, namun skopnya tidak merangkumi kepimpinan kerajaan negeri.
“Langkah ini sangat penting, tetapi ia hanya melibatkan jawatan perdana menteri dan tidak membabitkan ketua menteri atau menteri besar,” katanya pada Majlis Perutusan Tahun Baharu di kementeriannya.
Menurut Azalina, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) telah menjalankan pelbagai kajian bagi meneliti pelaksanaan RUU berkenaan sebelum ia dibentangkan di Parlimen.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri selama 10 tahun pada sesi Dewan Rakyat tahun ini.
Menurutnya, RUU itu antara teras utama reformasi institusi yang menjadi hala tuju kerajaan pada sesi Parlimen tahun ini.