Cepatkan reformasi peranan AG, Putrajaya digesa

Cepatkan reformasi peranan AG, Putrajaya digesa

Mereka juga mendesak supaya tempoh pentadbiran perdana menteri dihadkan kepada dua penggal, selain reformasi undang-undang berkaitan penahanan tanpa perbicaraan serta pelantikan hakim.

syahredzan johan n thomas fann
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Pengasas Projek Sama Thomas Fann berkata reformasi institusi perlu susulan kekalahan PH dalam PRN Sabah.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan dan seorang aktvis mahu Putrajaya mempercepatkan proses mengasingkan kuasa pendakwaan daripada Peguam Negara (AG) sebagai langkah penting ke arah agenda reformasi institusi negara.

Dalam satu mesyuarat susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Sabah baru-baru ini, majlis presiden gabungan itu yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berazam mempercepatkan beberapa reformasi dalam tempoh enam bulan.

Ahli Parlimen DAP Syahredzan Johan yang menghadiri mesyuarat itu menyuarakan harapan tindakan mengasingkan peranan AG dengan Pendakwa Raya (PP) akan diberi keutamaan.

“Selain itu, perdana menteri perlu dikenakan had dua penggal, selain semakan terhadap aspek drakonian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma),” katanya.

Minggu lalu, kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa menteri dalam negeri membentangkan pindaan terhadap peruntukan Sosma yang membolehkan penahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan sebelum Februari, malah menyifatkan tindakan itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

Syahredzan berkata, kerajaan perpaduan pimpinan PH telahpun melaksanakan beberapa reformasi institusi penting termasuk mengembalikan autonomi parlimen menerusi Akta Perkhidmatan Parlimen.

Akta itu diluluskan dan menerima perkenan diraja pada awal tahun, dan berkuat kuasa pada Mei depan. Ia bakal membentuk semula rangka kerja perkhidmatan parlimen dan penginstitusian pelbagai jawatankuasa pilihan parlimen.

Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, perancangan kerajaan untuk mengasingkan peranan AG dan PP telah memasuki fasa kedua, susulan kajian komprehensif melibatkan maklum balas daripada lebih 7,000 responden.

Katanya, fasa seterusnya melibatkan pemuktamadan struktur institusi, mendraf undang-undang baharu, dan mengenal pasti pindaan yang perlu dilakukan dalam perlembagaan, dengan proses legislatif dijangka bermula tahun depan selepas rundingan pihak berkepentingan dan kerja asas teknikal.

Pengasas bersama Projek Sama, Thomas Fann menggesa supaya proses itu dipercepatkan kerana dilihat perlu dalam memperkukuhkan kebebasan badan kehakiman.

Beliau turut menggesa reformasi dibuat terhadap Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) supaya peranan perdana menteri dalam proses itu dihapuskan atau setidak-tidaknya dikurangkan.

Fann turut menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah pengawasan Parlimen untuk melindungi kebebasannya selain mendesak penggubalan segera akta pendanaan politik termasuk pengawalseliaan pembiayaan awam untuk parti politik.

Pada Oktober, Azalina berkata Rang Undang-undang Pendanaan Politik sedang diteliti, dengan parameter dasar untuk dipertimbangkan jawatankuasa pilihan khas parlimen sebelum didraf.

Katanya, hasil rundingan, beberapa isu utama dibangkitkan termasuk pembiayaan awam untuk parti, mewajibkan pengisytiharan penyata kewangan, had jumlah derma, dan dan definisi jelas mengenai penyumbang yang dibenarkan atau sebaliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.