Sarawak bentang Dasar Pemilikan Negeri bulan depan

Sarawak bentang Dasar Pemilikan Negeri bulan depan

Dasar bertujuan satukan serta lindungi aset negeri di bawah rangka tadbir urus lebih kukuh, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Abang Johari Openg berkata, kejayaan Sarawak bergantung pada kerjasama yang kukuh dengan kerajaan sedia hala tuju, sektor swasta pacu pertumbuhan, manakala SOE jadi pemangkin industri strategik. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kerajaan Sarawak akan membentangkan Dasar Pemilikan Negeri menerusi Belanjawan Negeri 2026 pada siding DUN bulan depan, kata Premier Abang Johari Openg.

Beliau berkata, dasar itu bertujuan menyatukan serta melindungi aset negeri di bawah rangka tadbir urus yang lebih kukuh, untuk menentukan dengan jelas cara Sarawak melaksanakan pemilikan, selain memastikan syarikat milik kerajaan (SOE) negeri beroperasi dengan disiplin komersial, tanggungjawab sosial dan kemampanan jangka panjang, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

“SOE memainkan peranan penting sebagai jambatan antara kerajaan dan sektor swasta, bukan sahaja berfungsi sebagai entiti komersial tetapi juga sebagai cabang strategik negeri dalam memacu perindustrian, memastikan keselamatan tenaga serta mewujudkan peluang untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Reformasi institusi dan tadbir urus amat penting untuk mencapai visi ini kerana tadbir urus yang baik memastikan setiap pelaburan dan keputusan dasar berteraskan integriti, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya pada Persidangan Ekonomi Sarawak hari ini.

Selaras dengan hasrat itu, katanya, Sarawak akan mengguna pakai Kod Tadbir Urus Korporat bagi SOE, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi ketelusan dan amalan beretika.

“Dengan penjejakan prestasi secara digital, kita akan menilai hasil bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi berdasarkan nilai sebenar yang disampaikan kepada rakyat – matlamat yang jelas, etika yang kukuh dan impak yang boleh diukur akan menjadi penanda aras kecemerlangan tadbir urus,” katanya.

“SOE terkemuka Sarawak sudah memacu kemajuan dalam sektor-sektor penting – Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dalam minyak dan gas, Sarawak Energy dalam tenaga boleh baharu, Sarawak Metro dalam mobiliti bandar, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dalam industri hiliran, pelancongan serta perusahaan berasaskan pertanian dan Yayasan Sarawak dalam pendidikan serta pembangunan bakat.”

Beliau berkata, kejayaan Sarawak bergantung pada kerjasama yang kukuh dengan kerajaan menyediakan hala tuju, sektor swasta memacu pertumbuhan, manakala SOE bertindak sebagai pemangkin kepada industri strategik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.