
Menurutnya, ia terutama membabitkan proses pelantikan badan kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Gesaan NGO itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mensabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, atas kesalahan berkaitan dana 1MDB.
Bersih berkata keputusan itu menjadi peringatan jelas tentang kegagalan institusi negara apabila kuasa eksekutif terlalu dominan.
“Sabitan ini tidak membawa makna sekiranya kerajaan hari ini gagal mengambil langkah mencegah kelahiran kleptokrat baharu melalui reformasi institusi dan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Bersi, kuasa pelantikan khususnya terhadap badan kehakiman, Pesuruhjaya SPRM dan anggota SPR perlu direformasi segera supaya institusi-institusi itu benar-benar bebas daripada pengaruh kuasa eksekutif, terutamanya Perdana Menteri.
Bersih turut menggesa pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan tanpa berlengah bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa pendakwaan, termasuk pendakwaan bermotif politik terhadap musuh kerajaan.
Semalam, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.387 bilion ke atas Najib selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.
Mengulas keputusan itu, Bersih menyifatkannya sebagai pencapaian penting hasil perjuangan panjang rakyat, aktivis, media dan ahli politik yang berani menentang rasuah serta salah guna kuasa.
Menurutnya, Himpunan Bersih 4 dan Bersih 5 yang digerakkan sebelum ini merupakan reaksi rakyat terhadap skandal kewangan terbesar negara, selepas pendedahan kemasukan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi seorang perdana menteri.
Bagaimanapun, Bersih mengingatkan semua pihak agar tidak melihat keputusan mahkamah itu sebagai penamat kepada usaha memerangi rasuah dan kleptokrasi.
Sebaliknya, ia perlu menjadi pemangkin kepada reformasi institusi secara menyeluruh di bawah pentadbiran kerajaan Madani.