Awan AI berdaulat tempatan penting untuk kedaulatan data, kata persatuan siber

Awan AI berdaulat tempatan penting untuk kedaulatan data, kata persatuan siber

Namun pengamal undang-undang gesa kerajaan perketat keselamatan termasuk hadkan untuk urusan rasmi kerajaan.

tech-ai-envato-elements
Pembangunan awan AI berdaulat akan bantu kurang kebergantungan terhadap penyedia awan luar. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Pembangunan awan AI berdaulat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam Belanjawan 2026 dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kedaulatan data serta keupayaan digital negara.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata inisiatif itu akan bantu kurang kebergantungan terhadap penyedia awan luar seperti Amazon Web Services (AWS), Google dan Microsoft.

Siraj Jalil.

“Sekarang sistem makin kompleks dan data kerajaan semakin banyak. Jika berlaku kebocoran atau pendedahan data sulit, kesannya besar kepada kerajaan.

“Ia juga selaras dengan usaha lokalisasi data, memindahkan data penting daripada platform luar ke infrastruktur tempatan,” katanya kepada FMT.

“Contohnya, WhatsApp menyimpan data kita di server Meta, e-mel pula di Google Cloud. Untuk fungsi digital kerajaan yang meluas, data penting sepatutnya disimpan dalam awan AI Berdaulat,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaburan RM2 bilion bagi inisiatif itu yang dijangka melonjakkan Malaysia ke status Negara AI menjelang 2030.

Pelaburan itu bertujuan membangunkan ekosistem AI berdaulat dan selamat, membolehkan sektor awam dan swasta memanfaatkan teknologi canggih tanpa bergantung kepada infrastruktur asing.

Foong Cheng Leong
Foong Cheng Leong.

Bagi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Harta Intelek Majlis Peguam Malaysia Foong Cheng Leong, pembangunan awan AI berdaulat mesti diiringi langkah keselamatan ketat bagi melindungi data dan dokumen sulit kerajaan.

“Sistem awan AI berdaulat perlu dibangunkan secara tertutup untuk kegunaan rasmi kerajaan sahaja. Penjawat awam perlu diwajibkan menggunakan platform AI tempatan, bukan platform luar. Data juga harus ditempatkan secara lokal,” katanya.

Foong menambah, maklumat dimuat naik ke platform pihak ketiga tanpa perlindungan seperti encryption berisiko diakses pihak luar sekali gus menjejaskan keselamatan negara dan rakyat terutama dalam era penipuan siber yang kian meluas.

Beliau menekankan AI berdaulat yang berorientasikan Malaysia juga akan menjadikan ‘outputnya’ berdasarkan amalan dan budaya tempatan.

“Ini membuktikan kemampuan negara membangunkan teknologi sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.