Pelaburan Khazanah mesti selari aspirasi negara, bukan sekadar kejar untung, kata Anwar

Pelaburan Khazanah mesti selari aspirasi negara, bukan sekadar kejar untung, kata Anwar

Ia susulan kenyataan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli bimbang tindakan kerajaan menarik GLIC dan GLC dalam penyediaan belanjawan negara akan beri kesan kepada dua entiti itu.

khazanah nasional
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata syarikat milik kerajaan seperti Khazanah perlu imbangi kepentingan komersial dan aspirasi nasional, termasuk pemuliharaan warisan budaya negara. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Syarikat milik kerajaan seperti Khazanah Nasional tidak boleh beroperasi atas pertimbangan komersial semata-mata, sebaliknya perlu memastikan pelaburannya selari aspirasi pembangunan negara dan kepentingan awam, tegas Anwar Ibrahim.

Perdana menteri menjelaskan Khazanah bukan syarikat swasta, tetapi entiti amanah kerajaan yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan rakyat, justeru pelaburannya perlu seimbang antara keuntungan dan keperluan strategik nasional.

“Khazanah syarikat kerajaan ditubuhkan untuk jaga kepentingan awam. Ia bergerak dalam beberapa bidang ikut komersial, beberapa bidang ikut aspirasi negara.

“Ia bukan syarikat swasta. Kalau begitu, Khazanah jangan peduli dasar negara. Dia nak labur, laburlah di mana. Dia nak pergi Amerika, nak pergi China, India, melabur,” katanya pada perhimpunan warga Kementerian Kewangan.

“Tapi (cara itu) tak betul, tak masuk akal. Jadi kita kata sebahagian kecil labur di sini dan labur yang strategik,” katanya mengambil contoh sektor strategik seperti tenaga solar dan hibrid yang turut melibatkan kerjasama dengan Petronas.

Sabtu lalu, bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan menarik syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam penyediaan belanjawan negara.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, langkah tersebut dikhuatiri memberi kesan kepada syarikat strategik terbabit.

Rafizi berpendapat pendekatan itu tidak betul kerana belanjawan kerajaan hanya wajar melibatkan kerajaan secara langsung, bukannya mengaitkan dua entiti berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Anwar menolak dakwaan sesetengah pihak, termasuk pembangkang yang mengaitkan peruntukan pembangunan beberapa projek warisan seperti kompleks Carcosa Seri Negara bernilai RM600 juta sebagai pembaziran.

Jelasnya, projek membangunkan kawasan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Padang Merdeka dan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur bertujuan menjadikan ibu negara bukan sahaja maju secara teknologi, tetapi juga segar dari segi warisan budaya.

“Peruntukan RM600 juta itu bukan hanya untuk Carcosa Seri Negara sahaja, itu untuk pemuliharaan bangunan warisan di sekitar ibu kota.

“Kita mahu Kuala Lumpur dikenali sebagai kota moden. tetapi masih segar budayanya.”

Beliau menyeru semua pihak, termasuk pembangkang memahami konteks sebenar pelaburan kerajaan dalam sektor warisan dan menyokong usaha itu sebagai sebahagian strategi pembangunan berimbang antara ekonomi, budaya serta identiti nasional.

“RM600 juta itu bukan wang kebajikan, itu pelaburan termasuk untuk menjaga kepentingan sejarah.

“Dia tak faham, siapa yang boleh bangunkan projek begitu besar yang menunjukkan kehebatan warisan sejarah dan budaya kita, (kalau bukan) badan seperti Khazanah atau Petronas.”

Isnin lalu, ketua pembangkang, Hamzah Zainudin menyifatkan pelaburan RM600 juta daripada Khazanah untuk kerja membaik pulih bangunan bersejarah ‘melencong’ daripada tujuan dan peranan sebenar penubuhan syarikat GLIC itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.