
Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) berkata penubuhan suruhanjaya khas itu wajar diberi perhatian kerana ia akan memberi manfaat kepada semua negeri di Malaysia.
Beliau yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata negeri itu komited untuk menawarkan hasil pulangan cukai daripada sektor perindustrian, pelancongan, perumahan dan hartanah kepada negara.
“Perkara ini adalah wajar dibincangkan kerana secara logik sekiranya sesebuah negeri mempunyai sumber kewangan yang kukuh, maka ia akan terus mampu menyumbang serta memberi impak positif kepada pembangunan negara secara keseluruhan.
“Daripada berbilion-bilion hasil yang Pulau Pinang sumbangkan kepada persekutuan, kita hanya harapkan perkongsian sebanyak 20% atau sewajarnya, peratusan ini juga boleh dikaji secara berperingkat pada kadar bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Chow berkata kerajaan negeri turut menawarkan penubuhan sebuah pusat kewangan ekonomi khas iaitu Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan negara secara berterusan dalam pelan jangka panjang.
“Kita memerlukan sebuah pemangkin ekonomi agar tidak kekal terbantut sebagai sebuah negeri berasaskan perindustrian elektrik dan elektronik (E&E) serta pelancongan semata-mata,” tambahnya.
Sementara itu, Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berharap penggunaan dana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menerusi Belanjawan 2026 dilaksanakan secara berhemah selaras dengan peranan asal entiti berkenaan.
Beliau menegaskan GLC dan GLIC berperanan penting dalam menjalankan pelaburan strategik negara, yang memberi pulangan jangka panjang kepada rakyat.
Oleh itu, katanya, dana daripada entiti itu perlu dilakukan dengan teliti supaya tidak menjejaskan keupayaannya dalam menyokong agenda pembangunan negara.
Wee turut menekankan agar kerajaan memastikan dasar fiskal terus membantu rakyat dan dilaksanakan dengan cekap dan bertanggungjawab serta disokong oleh pendekatan jangka panjang.
“Dasar fiskal yang kukuh perlu berasaskan ketelusan, kebertanggungjawaban dan keberanian untuk melakukan pembaharuan struktur, bukannya sekadar mengalihkan tanggungan melalui cukai baharu, pemotongan subsidi atau pemerasan dana GLC dan GLIC,” katanya.