
Teresa Kok (PH-Seputeh), berkata ketiadaan cadangan menaikkan cukai berkenaan menimbulkan persoalan memandangkan produk itu semakin meluas penggunaannya dan sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi.
“Kerajaan menaikkan cukai terhadap rokok dan produk tembakau, tetapi tidak menyentuh langsung mengenai vape.
“Mengapa tidak ada langkah sama terhadap produk ini, sedangkan isu vape semakin serius di negara kita,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026, di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Teresa menjelaskan Malaysia kini mempunyai industri pembuatan produk vape yang aktif dan menjadi antara pengeksport utama ke negara jiran.
Katanya, mengikut data Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), nilai industri vape tempatan dianggarkan RM3.48 bilion pada 2023, meningkat 53% berbanding RM2.27 bilion, pada 2019.
Menurutnya, sekiranya kerajaan mengambil keputusan melarang vape sepenuhnya, ia akan memberi kesan besar kepada pengusaha industri dan mengurangkan hasil cukai negara.
“Larangan total tidak akan menghentikan penggunaan vape, malah akan menggalakkan penyeludupan serta mengukuhkan pasaran gelap,” katanya.
Teresa berkata, vape juga boleh digunakan sebagai alternatif bagi perokok tegar yang ingin berhenti merokok.
Beliau menegaskan, kawalan ketat perlu dikenakan terhadap industri vape sebelum kerajaan membuat keputusan melarang penggunaannya.
“Kerajaan tidak harus bertindak terburu-buru. Kawalan ketat lebih berkesan daripada larangan penuh.
“Vape dengan kandungan nikotin rendah boleh membantu perokok beralih secara berperingkat sebelum berhenti sepenuhnya,” katanya.
Teresa turut mencadangkan supaya kerajaan hanya mengharamkan penggunaan vape jenis ‘open system’ yang membolehkan pengguna mencampur bahan sendiri seperti ganja dan dadah.
Katanya, hanya vape ‘closed system’ wajar dibenar dijual, iaitu produk yang dikawal terus oleh pengilang atau pengimport berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dengan pemantauan kualiti bersama Sirim.