M40 berdepan tekanan kewangan, Syerleena seru bantuan ikut isi rumah

M40 berdepan tekanan kewangan, Syerleena seru bantuan ikut isi rumah

Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM8,000 sebulan di bandar hanya 'cukup-cukup makan'.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berseloroh jangan biarkan golongan M40 yang dikenali sebagai ‘The Missing 40’.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen mahu kerajaan memperkukuh dasar subsidi bersasar dengan menggunakan model data baharu mengambil kira komposisi isi rumah bagi menilai tekanan kewangan sebenar, khususnya M40.

Sambil mengakui reformasi subsidi bersasar membantu menghentikan pembaziran berbilion ringgit, sekali gus membela B40, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berkata kelompok menengah itu menjadi kumpulan yang semakin dilupakan.

“Mereka tidak layak untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Mereka menanggung cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kos pendidikan dan penjagaan, namun jarang menerima sokongan langsung.

“Di bandar-bandar kos tinggi, isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM8,000 sebulan hanya ‘cukup-cukup makan’. Maka, sambil kita mempertahankan prinsip subsidi bersasar, reka bentuknya mesti berevolusi,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026, di Dewan Rakyat.

Beliau menggesa kerajaan menggunaan model data baharu yang bukan sekadar pendapatan, tetapi komposisi isi rumah demi menilai siapa yang benar-benar tertekan.

“M40 tidak meminta belas tetapi mahu diakui bahawa mereka tulang belakang ekonomi iaitu pembayar cukai, peniaga kecil, guru, jururawat, dan kesejahteraan mereka menentukan kestabilan negara.

“Jangan biarkan golongan M40 yang bekerja keras ini dikenali sebagai ‘The Missing 40’,” katanya.

Dalam pada itu, Syerleena mencadangkan Akta Kredit Pengguna yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2026 bagi mengawal selia pemberi pinjaman wang, syarikat kredit, dan aplikasi pinjaman digital turut merangkumi pinjaman perumahan.

Katanya, hutang isi rumah Malaysia kini sekitar 84% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sebahagian besarnya pinjaman perumahan.

“Persoalannya, mengapa kita mereformasi undang-undang pinjaman untuk peminjam kecil tetapi tidak untuk pinjaman terbesar iaitu pinjaman perumahan?”

“Maka kita harus bekerjasama dengan bank untuk membina kerangka yang lebih adil, iaitu tempoh kadar tetap pilihan bagi pembeli rumah pertama atau sokongan faedah bagi rumah permulaan. Ini bukan populisme tetapi taktik berhemat yang berempati. Rakyat tidak wajar hidup dalam ketakutan kehilangan rumah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.