Polis akan tingkat rondaan termasuk dalam pekarangan sekolah

Polis akan tingkat rondaan termasuk dalam pekarangan sekolah

Langkah ini termasuk hantar anggota MPV ronda kawasan sekolah, kata ketua polis Selangor.

2 kes tikam SMK Bandar Utama Damansara (4)
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata, langkah pihaknya ketat kawalan keselamatan bukan semata-mata disebabkan kes pelajar perempuan dibunuh di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam.
SHAH ALAM:
Polis akan meningkatkan rondaan termasuk menghantar anggota Unit Kereta Peronda (MPV) secara berkala ke kawasan sekolah bagi mempertingkatkan kehadiran sepanjang waktu persekolahan.

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata, langkah itu termasuk memperkukuh program Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), antara inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran selamat di sekolah.

“Kami akan mempergiatkan usaha ini, termasuk membenarkan kenderaan peronda memasuki kawasan sekolah secara berkala untuk memastikan tahap penglihatan polis lebih baik dan tindak balas lebih pantas sekiranya diperlukan,” katanya pada sidang media hari ini.

“Inisiatif ini dibuat berdasarkan arahan Ketua Polis Negara Khalid Ismail dan akan dilaksanakan di seluruh Selangor sebagai sebahagian langkah lebih menyeluruh untuk memberi jaminan keselamatan kepada pelajar, guru dan ibu bapa.”

Shazeli berkata, langkah mengetatkan kawalan keselamatan itu bukan semata-mata disebabkan kes pelajar perempuan dibunuh di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam.

Beliau berkata, polis memandang serius kes itu dan pihaknya sedang meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi mencari cara paling berkesan memastikan sekolah selamat.

Tambahnya, polis juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memadam gambar atau maklumat peribadi mangsa dan suspek yang disebarkan di platform media sosial.

Dalam insiden kira-kira 9.30 pagi itu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut disyaki ditikam rakan sekolahnya, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.