
Jelasnya, penyebaran imej atau rakaman sedemikian bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga, tetapi juga boleh menjejaskan siasatan polis.
Justeru, SKMM menasihatkan semua pihak bertindak dengan penuh bertanggungjawab di media sosial.
“SKMM menggesa orang ramai tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan, termasuk gambar atau video yang memaparkan mangsa, pelajar lain atau lokasi kejadian.
“Sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan segera memadamkannya,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu menyebarkan kandungan sedemikian mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Individu disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.”
Seorang pelajar perempuan 16 tahun dilaporkan maut selepas ditikam pelajar lelaki 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pagi semalam.
Dalam kejadian sekitar 9.30 pagi, suspek dikatakan membawa senjata tajam dipercayai pisau ke sekolah.