Pemilik kenderaan perdagangan dikesan ambil pemandu bawah umur

Pemilik kenderaan perdagangan dikesan ambil pemandu bawah umur

Seorang remaja 16 tahun ditahan dalam operasi khas di Kuala Terengganu semalam kerana didapati memandu kenderaan perdagangan tanpa lesen.

Pengarah JPJ Terengganu Mohd Zamri Samion berkata selain pemandu, kelindan lori juga disahkan masih bawah umur dan tiada lesen memandu. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan segelintir pengusaha atau pemilik kenderaan perdagangan menggaji pemandu bawah umur sejak kebelakangan ini.

Pengarahnya, Mohd Zamri Samion, berkata seorang remaja lelaki 16 tahun ditahan dalam Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan JPJ di Jalan Tok Adis-Chendering di sini, semalam kerana didapati memandu kenderaan perdagangan tanpa lesen.

Selain pemandu, katanya, kelindan lori itu juga disahkan masih bawah umur serta tiada lesen memandu.

“Pemeriksaan mendapati lori yang membawa tempurung kelapa itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Marang. Kita percaya pemilik lori berkenaan mengambil risiko menggaji pemandu bawah umur bagi menjimatkan kos operasi.

“Tindakan itu amat berisiko dan mendatangkan bahaya kepada pemandu serta pengguna jalan raya lain. Kita mengeluarkan saman dan menyita kenderaan terbabit kerana jelas melanggar undang-undang,” katanya pada Operasi Khas Gempur di Tol Gemuruh, di sini.

Sementara itu, Zamri berkata, 603 kenderaan perkhidmatan awam (KPA) dan kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) dikenakan tindakan dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan JPJ dalam tempoh 1 Sept lalu hingga semalam.

Menurutnya, ia hasil pemeriksaan 5,315 kenderaan, termasuk bas ekspres, bas persiaran, lori, kereta sewa dan kenderaan e-panggilan.

Antara kesalahan dikesan termasuk lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) tamat tempoh, membawa barangan lebih muatan, perlindungan insurans tamat tempoh, tidak mematuhi lampu isyarat dan lesen kenderaan barangan (GDL) tamat tempoh.

“Sebanyak 11 kenderaan disita, 144 kenderaan diarah timbang, manakala 12 lagi diberi lain-lain notis.

“JPJ Terengganu terus meningkatkan pelaksanaan operasi terhadap kenderaan perdagangan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan serta kematian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.