Langkah mundur korban nyawa, pakar tolak kaji semula ‘hukum’ lori lebih muatan

Langkah mundur korban nyawa, pakar tolak kaji semula ‘hukum’ lori lebih muatan

Pakar keselamatan jalan raya ulas cadangan Adun DAP Ng Kor Sim supaya JPJ kaji semula tindakan tegas terhadap lori bawa muatan berlebihan.

lori lebuhraya highway lorry
Pakar berkata lori lebih muatan memindahkan kos tersembunyi kepada kerosakan jalan raya ditanggung pembayar cukai, risiko kemalangan maut dan membebankan alam sekitar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakar keselamatan jalan raya menolak cadangan seorang Adun Johor supaya kerajaan mengkaji semula penguatkuasaan tegas terhadap lori membawa muatan berlebihan yang disifatkan tidak munasabah.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Law Teik Hua, berpendapat ia hanya langkah mundur yang mengorbankan nyawa demi keuntungan jangka pendek.

Law Teik Hua
Law Teik Hua.

“Lebih muatan sebenarnya memindahkan kos tersembunyi kepada kerosakan jalan raya yang ditanggung pembayar cukai, risiko kemalangan maut kepada pengguna jalan raya serta membebankan alam sekitar,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Ng Kor Sim daripada DAP dilaporkan menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengkaji semula tindakan tegas terhadap lori membawa muatan berlebihan, sambil menyatakan kesan terhadap pengilang minyak dan kemungkinan menjejaskan pengguna.

Ng Kor Sim.

Katanya, majoriti pemandu daripada golongan B40 berdepan pengurangan ketara jumlah pendapatan akibat had muatan yang kini dikuatkuasakan dengan ketat.

Mengulas lanjut, Law mencadangkan kerajaan mengambil pendekatan ‘mencegah’ daripada hanya menghukum dengan mewajibkan insentif teknologi seperti sistem on-board weighing (OBW) sebagai penyelesaian jangka panjang isu keselamatan jalan raya.

Beliau berkata, ia boleh menyebabkan kesesakan jika hanya bergantung kepada kaedah konvensional seperti stesen timbang yang reaktif.

“Jika hanya bergantung pada kaedah konvensional seperti stesen timbang yang reaktif dan boleh menyebabkan kesesakan.

“Sebaliknya, penggunaan teknologi OBW membenarkan pemantauan berat secara masa nyata sekali gus mengelakkan lebih muatan berlaku di awal lagi. Alternatif ini lebih proaktif berbanding menahan di jalan raya hanya selepas kesalahan berlaku,” katanya.

Katanya, penguatkuasaan boleh menjadi lebih pintar dengan menggunakan analisis data untuk mengenal pasti lokasi dan waktu insiden lebih muatan tertinggi yang diyakini mampu meningkatkan kecekapan operasi.

Law turut berpendapat, masalah lori membawa muatan berlebihan memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan setiap pihak dalam rantaian nilai logistik bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pematuhan dan operasi perniagaan.

Katanya, kerajaan boleh menyediakan atau mensubsidikan jambatan timbang yang disahkan di kawasan perindustrian dan pelabuhan utama bagi memudahkan pemeriksaan praperjalanan, sekali gus dapat mengurangkan kos dan risiko pematuhan di jalan raya.

“Pada masa sama, pengusaha lori perlu beralih daripada struktur kadar rata yang tidak relevan kepada kadar berbilang bagi memastikan kos pengangkutan telus dan adil,” katanya, menyifatkan ia penting untuk menggambarkan kos sebenar muatan berat dan mendorong penghantar barang mengoptimumkan muatan.

Menurutnya, kerajaan dan persatuan industri boleh melancarkan program pensijilan dan pengiktirafan untuk syarikat logistik yang mempunyai rekod pematuhan cemerlang.

“Manfaat seperti laluan keutamaan di pelabuhan atau diskaun premium insurans boleh dijadikan insentif. Dengan ini, budaya operasi yang selamat dan sah menjadi kelebihan pasaran, bukannya beban,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.