
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 15 penumpang maut dalam kemalangan di negeri Rajasthan, barat laut India pada Ahad.
Van dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang diletakkan di lebuh raya di daerah Phalodi, kira-kira 350km dari ibu negeri Jaipur, lapor media tempatan.
Menurut pegawai polis, 15 maut di tempat kejadian, manakala dua wanita cedera parah.
Mangsa yang juga penduduk dari daerah Jodhpur di Rajasthan dalam perjalanan pulang selepas menyertai upacara keagamaan di sebuah kuil Hindu di Kolayat, daerah Bikaner.
Perdana Menteri, Narendra Modi, mengumumkan bayaran ex gratia 200,000 rupee (kira-kira RM9,435) kepada waris setiap mangsa menerusi Prime Minister’s National Relief Fund.