Tahap patuh SLD naik ketara hampir 49%

Tahap patuh SLD naik ketara hampir 49%

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook ia hasil tindakan penguatkuasaan tegas JPJ bagi fasa pertama melibatkan bas ekspres, bas pelancongan dan kenderaan barangan berat.

pemeriksaan kenderaan berat puspakom lori
Peranti kawalan had laju automatik mengehadkan kelajuan kenderaan secara elektronik melalui ECU tanpa mematikan enjin bagi memastikan operasi kenderaan kekal selamat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tahap pematuhan penggunaan peranti kawalan had laju automatik (SLD) fasa pertama meningkat kepada 48.37% setakat semalam berbanding 2.68% pada permulaan penguatkuasaan 1 Okt lalu, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Beliau berkata, peningkatan itu hasil tindakan penguatkuasaan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi fasa pertama melibatkan bas ekspres, bas pelancongan dan kenderaan barangan berat dengan muatan (BDM) melebihi 3,500kg.

“Kementerian Pengangkutan akan meneruskan penguatkuasaan SLD dengan tegas untuk mencapai tahap pematuhan lebih baik. Pemasangan dan pengesahan kefungsian peranti ini hendaklah dilakukan pihak pengesah diiktiraf JPJ.”

Setakat 15 Nov lalu, katanya, 307 pihak pengesah berdaftar di seluruh negara untuk menjalankan pemasangan dan pengesahan kefungsian SLD.

Beliau menjawab pertanyaan Jimmy Puah (PH-Tebrau) mengenai pelaksanaan penguatkuasaan penggunaan SLD mulai Oktober lalu, termasuk tatacara pemeriksaan dan pematuhan pada sidang Dewan Rakyat.

Loke berkata, pemilik kenderaan dikehendaki mengemukakan slip pengesahan dan laporan kefungsian SLD di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer serta menyimpan dokumen itu dalam kenderaan bagi tujuan pemeriksaan di jalan raya.

Menurutnya, had kelajuan dikawal melalui SLD dapat mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan laju, seterusnya meningkatkan tahap keselamatan semua pengguna jalan raya.

SLD ialah sistem kawalan kelajuan automatik yang mengehadkan kelajuan kenderaan secara elektronik melalui ECU tanpa mematikan enjin (cut-off), sekali gus memastikan operasi kenderaan kekal selamat.

Beliau berkata, kerajaan turut membangunkan sistem telematik untuk disepadukan dengan SLD bagi membolehkan pemantauan lebih berkesan terhadap pergerakan kenderaan berat dan tingkah laku pemandu.

Ketika ini, hanya pemasangan sistem kedudukan global (GPS) diwajibkan untuk bas dan kenderaan berat, manakala telematik masih dalam fasa “proof of concept” oleh Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

“Kita sedang melihat beberapa model bagi membangunkan sistem ini. ‘Proof of concept’ sedang berjalan dan telematik belum diwajibkan, namun kemungkinan dipertimbangkan secara berfasa pada masa depan.”

Katanya, telematik yang dibangunkan kelak perlu mempunyai ciri integrasi dengan SLD bagi membolehkan pihak berkuasa memantau kenderaan berat serta tingkah laku pemandu melalui pangkalan data JPJ dan polis.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, Malaysia tidak pernah mempertimbang atau memberi permit bas ekspres kepada syarikat asing, termasuk dari Singapura, dan bas dari republik itu hanya dibenarkan masuk sebagai bas persiaran atas dasar timbal balik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.