PRN Sabah: Amanah kenal pasti kerusi berpotensi

PRN Sabah: Amanah kenal pasti kerusi berpotensi

Setiausaha Agungnya Muhammad Faiz Fadzil berkata parti itu sudah membuat persiapan awal termasuk memilih calon berpotensi.

Setiausaha Agung Amanah Muhammad Faiz Fadzil berkata parti itu dijangka bertanding sehingga lima kerusi, tetapi jumlah sebenar masih dalam rundingan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Amanah sudah mengenal pasti kawasan berpotensi ditandingi pada PRN Sabah yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil, berkata biarpun tarikh rasmi PRN belum diumumkan, tetapi partinya membuat persiapan awal termasuk memilih calon berpotensi.

“Insya-Allah, kita dah bersedia, tambahan pula Amanah mempunyai ramai calon berpotensi, namun kita akan melakukan saringan bagi memastikan hanya calon yang benar-benar berwibawa dan boleh menang diketengahkan.

“Prinsip kita jelas iaitu ‘winnable seat, winnable candidate’,” katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Perasmian Sambutan Gelombang Samudera Madani sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Pantai Sri Tujoh, Tumpat.

“Amanah dijangka bertanding sehingga lima kerusi, namun jumlah sebenar masih dalam rundingan bersama rakan parti dalam gabungan kerajaan perpaduan, termasuk Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah.”

Beliau berkata, kerjasama erat sedang dibentuk bersama rakan dalam kerajaan bagi memastikan kemenangan pasukan perpaduan dan mengekalkan kestabilan kerajaan di Sabah.

Menurutnya, fokus utama Amanah bukan sekadar bertanding, tetapi memastikan setiap kerusi ditandingi mampu menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri yang stabil.

Beliau meminta pengundi menyokong calon yang akan diketengahkan kerana Amanah sentiasa komited memperjuangkan isu rakyat, termasuk ekonomi, pendidikan dan kebajikan masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.