
DAP Sabah yang diberi pengecualian dalam hal ini merasakan strategi terbaik kali ini adalah menggunakan lambang PH, bagi “mencerminkan semangat kerjasama dan kewibawaan sebagai sebahagian daripada kerajaan persekutuan,” kata Setiausaha Agung Loke Siew Fook ketika mengumumkan perkembangan tersebut, pada sidang media hari ini.
“DAP Sabah memang pertimbang untuk guna logo sendiri. Namun selepas perbincangan secara cermat, mereka memutuskan untuk berada di bawah panji PH,” katanya, lapor Malaysiakini.
Penggunaan lambang sendiri menjadi perbincangan dalam kalangan komponen PH di Sabah ketika negeri itu bersiap-sedia untuk melangkah ke pilihan raya.
Presiden Upko, Ewon Benedick, sebelum ini mencadangkan agar partinya bertanding menggunakan lambang sendiri dalam PRN untuk menekankan ‘semangat Sabah’.
Pada 1 Nov lalu, setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yakin Upko akan bertanding bawah panji PH pada PRN Sabah.
Shamsul Iskandar Akin berkata Ewon selaku ketua PH Sabah harus menampilkan barisan yang bersatu menjelang PRN17.
Selepas menyertai PH pada 2021, Upko bertanding bawah panji gabungan semasa PRU tahun berikutnya.
Seramai 1.78 juta pengundi berdaftar layak memilih wakil rakyat bagi membentuk kerajaan baharu Sabah pada 29 Nov. Penamaan calon akan diadakan pada 15 Nov.