PRN Sabah: Amanah masih runding, harap dapat tanding 2 kerusi

PRN Sabah: Amanah masih runding, harap dapat tanding 2 kerusi

Presiden Mohamad Sabu berkata setakat ini Amanah umum tanding satu kerusi di DUN Sulabayan namun sedang berunding tambah lagi kerusi.

Mohammad Sabu
Mohamad Sabu berkata Amanah cuba membuat rundingan akhir untuk mendapatkan satu lagi kerusi tambahan bagi PRN Sabah dan hasrat itu disuarakan kepada Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail.
SHAH ALAM:
Biarpun berbaki seminggu lagi menjelang hari penamaan calon PRN Sabah, Amanah masih berusaha mendapatkan sekurang-kurangnya satu lagi kerusi tambahan untuk ditandingi pada pilihan raya 29 Nov.

Presiden Mohamad Sabu berkata, setakat ini parti itu hanya mengumumkan bertanding di DUN Sulabayan, namun pada masa  sama sedang berunding dengan rakan gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk menambah satu lagi kerusi menjelang penamaan calon 15 Nov.

“Setakat ini Amanah dapat satu kerusi. Kita sedang berusaha untuk mendapat sekurang-kurang satu lagi kerusi.

“Kita dah sampaikan hasrat itu pada Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan dia akan cuba membuat perundingan akhir menjelang penamaan calon,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Shah Alam.

Mohamad sebelum ini mengumumkan Mohd Julpikar Ab Mijan, pengasas pusat tahfiz dan aktivis sosial dari Semporna akan mewakili Amanah bertanding di kerusi menjadi kubu kuat Warisan.

Pada PRN Sabah lalu, Jaujan Sambakong yang juga naib presiden Warisan mempertahankan kerusi Sulabayan selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Sabah dengan majoriti 3,245 undi.

Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya mengakui ia sememangnya tangunggjawab sukar untuk bertanding di kerusi berkenaan namun akan digalas sebaiknya oleh Amanah.

Katanya, proses perundingan pembahagian kerusi dalam gabungan kerajaan perpaduan juga bukan mudah namun ia kini sudah sampai ke penghujungnya.

“(Kami terima) di mana sahaja tempat yang diberikan. Setakat ini kami menyebut Sulabayan. Ia memang satu kerusi yang sukar, tapi itulah pilihan raya.

“Bila kita diberi amanah, kita akan cuba. Walaupun rundingan kerusi sering menjadi cabaran terbesar menjelang pilihan raya, setiap parti dalam komponen kerajaan akan tetap berpegang pada semangat muafakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.