Bersatu jangka selesai kemelut dalaman bulan depan

Bersatu jangka selesai kemelut dalaman bulan depan

Ahli MPT Razali Idris berkata, tumpuan kepimpinan kini adalah untuk bantu PN menangi PRN Sabah.

perhimpunan agung bersatu
Bersatu jangka pertikaian dalaman parti dapat dirungkai sejurus selesai PRN Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menetapkan tempoh hingga Disember ini bagi parti itu untuk menyelesaikan kemelut dalamannya.

Ahli MPT Razali Idris berkata, seluruh kepimpinan tertinggi parti kini memberikan tumpuan penuh bagi membantu Perikatan Nasional (PN) memenangi PRN Sabah.

Menurutnya, pertikaian dalaman parti itu dijangka dapat diselesaikan sejurus selesai PRN.

“Semua ahli MPT bersetuju menyelesaikan kemelut parti secara harmoni selepas selesai PRN Sabah,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini, lapor Harian Metro.

Pada Selasa, Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, beliau berharap agar isu melanda Bersatu dapat ditangani segera bagi mengelak ia menjejaskan PN, khususnya menjelang PRN Sabah.

Beliau turut maklum bahawa kemelut dalaman Bersatu sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada parti-parti komponen lain dalam gabungan itu, termasuk PAS.

Ketegangan dalam Bersatu memuncak susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, di tengah-tengah perebutan kuasa kepimpinan yang dikatakan berlaku antara presiden parti Muhyiddin Yassin, dengan timbalannya, Hamzah Zainudin.

Lembaga Disiplin parti itu juga memecat empat ketua bahagian, iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Isa Saidi (Ampang).

Tindakan itu nyata mencetuskan keresahan dalam kalangan ahli parti, mendorong 16 Ahli Parlimen Bersatu menandatangani sepucuk surat bertarikh 23 Okt menggesa Muhyiddin menangani apa yang disifatkan sebagai ‘isu dalaman’, bagi mengelakkan parti ‘menjadi mangsa keegoan mana-mana pemimpin’.

MPT sebelum ini dilaporkan bersetuju sebulat suara untuk berusaha bersama-sama menyelesaikan perbalahan dalaman itu, berlandaskan rasa saling hormat-menghormati dan persefahaman yang baik, dengan iltizam yang teguh untuk menjunjung perlembagaan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.