Saluran aduan buli KPM masih tak mesra kanak-kanak, kata jawatankuasa Parlimen

Saluran aduan buli KPM masih tak mesra kanak-kanak, kata jawatankuasa Parlimen

Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat mahu KPM wujudkan talian khas yang sesuai dengan usia serta keupayaan kanak-kanak.

KPM BUILDING-PUTRAJAYA-KEMENTERIAN PENDIDIKAN-1
Libat urus jawatankuasa Parlimen mendapati saluran aduan buli KPM masih tidak mesra kanak-kanak.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Parlimen menegur Kementerian Pendidikan (KPM) bahawa saluran aduan bulinya masih tidak mesra kanak-kanak, di sebalik kebimbangan masyarakat berhubung isu buli.

Justeru, Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat mengesyorkan KPM mewujudkan talian aduan buli khas yang mesra kanak-kanak, dengan fungsi seperti ‘chat’, bahasa mudah, dan disesuaikan dengan usia serta keupayaan mereka.

“Ini kerana jawatankuasa mendapati melalui sesi libat urus bahawa saluran aduan buli KPM sekarang masih tidak mesra kanak-kanak dan menggunakan bahasa yang birokratik,” kata Yeo Bee Yin (PH-Puchong), yang mempengerusikan jawatankuasa dianggotai wakil rakyat pemerintah dan pembangkang itu.

Jawatankuasa turut mengesyorkan kotak aduan buli wajib diwujudkan di sekolah berasrama, oleh sebab mereka mungkin tidak boleh akses telefon bimbit atau internet.

Selain itu, jawatankuasa berpendapat pilihan untuk buat aduan secara anonim (nama samaran) perlu diberi kepada kanak-kanak, di samping kerahsiaan maklumat peribadi dan perlindungan wajar.

“Secara keseluruhannya, kanak-kanak perlu rasa selamat apabila mereka buat aduan dan mereka perlu rasa dibantu dan disokong oleh pihak sekolah selepas mereka buat aduan,” katanya.

Seterusnya, jawatankuasa mengesyorkan KPM memastikan Garis Panduan Salah Laku Buli dipatuhi di setiap sekolah, dan mewujudkan jawatankuasa khas antibuli dianggotai individu berkelayakan dan berpengalaman untuk memantau pematuhan sekolah.

“Ia juga boleh menjadi saluran rayuan bagi kes-kes yang belum selesai tetapi telah ditutupkan oleh pihak sekolah,” katanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat diberitahu pihak jawatankuasa memutuskan untuk mengadakan ‘townhall antibuli’, serta libat urus lebih menyeluruh bagi mendengar suara rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.