Kes di sekolah cerminan kegagalan bentuk nilai kemanusiaan, titah Sultan Perak

Kes di sekolah cerminan kegagalan bentuk nilai kemanusiaan, titah Sultan Perak

Sultan Nazrin Shah bertitah nilai pendidikan suci mungkin terabai akibat keghairahan mencapai penanda aras prestasi dan keputusan peperiksaan.

cikgu
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat buat anak-anak kini semakin terdedah kepada suasana mengancam keselamatan fizikal dan emosi mereka.
PETALING JAYA:
Peristiwa hitam di sekolah kebelakangan ini termasuk kes buli dan keganasan mencerminkan kegagalan sistem pendidikan dalam membentuk jiwa dan nilai kemanusiaan, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda menegaskan sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat buat anak-anak kini semakin terdedah kepada suasana mengancam keselamatan fizikal dan emosi mereka.

Menurut baginda, krisis kemanusiaan ini tidak wajar dipolemikkan atau dipolitikkan untuk menuding kesalahan kepada mana-mana pihak semata-mata sebaliknya masalah berakar sejak sekian lama.

Sultan Nazrin bertitah, nilai-nilai pendidikan yang suci mungkin telah terabai akibat keghairahan mencapai penanda aras prestasi dan keputusan peperiksaan, sehingga aspek pembinaan moral dan kemanusiaan tersepit dan terpinggir.

“Secara jujur – ikhlas, kita hendaklah berani mengakui sel barah yang telah tumbuh membesar hingga ke tahap kritikal bermula dengan sel kecil berhimpun secara kumulatif untuk sekian lamanya mungkin disebabkan kealpaan kita mencegah di peringkat awal secara bersungguh.

“Sifat penafian berterusan dan sifat tidak berani mengakui kesilapan, ditambah dengan ego tidak senang menerima teguran dan enggan berubah, di samping sifat kompromi dan kurang berani bertindak tegas melakukan pembetulan, menjadi penyebab telah menyuburkan sel barah boleh terus merebak.

“Matlamat suci sebenar pendidikan mungkin telah lama kita alpakan kerana terlalu taksub memberi fokus untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berbentuk kuantitatif, pada harga mengorbankan komponen kualitatif,” titah baginda ketika merasmikan Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 di Ipoh, Perak.

Baginda turut mengingatkan isu integriti juga sudah meresap ke dalam ekosistem sekolah termasuk pendedahan kes rasuah membabitkan guru dan pelajar, di samping budaya buli yang dilaporkan sejak puluhan tahun lalu tetapi tidak ditangani secara menyeluruh.

Sultan Nazrin memetik kajian menunjukkan nilai integriti dalam kalangan belia semakin merosot, termasuk dapatan bahawa segelintir pelajar universiti sanggup dan tidak melihat salah dalam menerima rasuah jika tiada tindakan diambil.

Baginda juga membangkitkan beberapa insiden kemalangan jalan raya di kampung di mana penduduk berebut mengutip barang tumpah untuk dibawa pulang, berbanding sebuah insiden di luar negara di mana orang ramai mengutip barang untuk dikembalikan kepada pemandunya.

“Perbezaan tindakan dalam ketiga-tiga insiden ini menunjukkan perbezaan tahap integriti dalam masyarakat,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda mempersoalkan sama ada sistem pendidikan kini telah terlalu menumpukan kecemerlangan akademik sehingga mengabaikan pembinaan adab, empati dan jiwa insan.

“Anak-anak dilatih menjawab soalan secara mekanikal, tetapi adakah mereka tahu menghormati perasaan orang lain?” titah baginda.

Baginda turut menegaskan pendidikan bukan sekadar proses melahirkan pelajar yang pandai, tetapi berakhlak, berjiwa dan beradab.

Sultan Nazrin berkata, integriti tidak lahir dengan sendirinya atau melalui dokumen dan slogan, tetapi dibentuk secara berterusan bermula dari rumah, diperkukuh di sekolah, dan dicontohi melalui kepimpinan.

“Ibu bapa berperanan paling utama menyemai benih integriti dalam jiwa anak-anak kerana rumah ialah madrasah pertama seorang insan,” tithnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.