
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata cadangan itu termasuk melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar berusia bawah 16 tahun.
“Kita juga dapati kesan pengaruh media sosial dan ‘games online’ ini dan kadang-kadang menjurus kepada banyak tindakan jenayah.
“Itu kita akan ambil tindakan melarang penggunaan ‘smartphone’ untuk pelajar-pelajar umur rakyat 16 tahun ke bawah. Penelitiannya masih lagi dibuat, tapi banyak negara telah melaksanakan,” katanya ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, PPAM Seruling.
Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh kandungan pendidikan berasaskan nilai dan akhlak, dengan penglibatan aktif ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memantapkan kesejahteraan pelajar.
“Perkara yang diteliti seperti yang saya sebut, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan memberikan penjelasan yang lebih luas. Saya harap pengetua, guru besar, guru-guru, ibu bapa bagi kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Pada masa sama, Anwar mengingatkan pengetua dan guru besar tidak melindungi kes salah laku pelajar atas alasan menjaga imej sekolah.
“Keutamaan pengetua, guru besar, dia nak melindungi imej sekolah. Anak-anak menggulung, bertempur. Dia duduk kira imej sekolah. Jadi sebab itu kita harus juga menekankan mereka (guru besar) supaya bertanggungjawab.
“Kalau ada dilindungi, maka dianggapkan satu kesalahan. Maknanya melindungi jenayah. Kadang-kadang kerana kes buli itu kecil.
“Ini saya dengar sendiri, kadang-kadang kan dalam masa-masa begini di Jumaat jumpa anak-anak (mereka ceritakan). Jadi buli itu kecil, jadi ingat tak apa. Tapi yang kecil yang kalau dibiarkan akan menjadi besar,” katanya.