Autonomi sekolah bukan lesen sorok salah laku pelajar, kata kesatuan guru

Autonomi sekolah bukan lesen sorok salah laku pelajar, kata kesatuan guru

Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat berkata tindakan sorok kes salah laku hanya melemahkan integriti institusi pendidikan dan menjejaskan keselamatan pelajar lain.

STUDENT_FORM5_TEACHER CLASSROOM
Ahli akademik berkata kecenderungan menjaga imej sekolah berpunca daripada ‘budaya persaingan seperti perniagaan’ yang telah lama berakar dalam sistem pendidikan negara.
PETALING JAYA:
Pemberian autonomi kepada sekolah untuk mengurus disiplin pelajar perlu dimanfaatkan secara berani dan bertanggungjawab, bukan dijadikan alasan untuk menyembunyikan salah laku atau menjaga imej institusi semata-mata, kata kesatuan guru dan ahli akademik.

Mereka berpandangan, budaya melindungi reputasi sekolah sehingga menafikan masalah sebenar pelajar menjadi punca utama sistem pendidikan gagal menangani gejala sosial seperti buli, penyalahgunaan telefon pintar, ponteng dan keganasan di sekolah.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sobri Yusuf, berkata tindakan menyorokkan kes salah laku hanya melemahkan integriti institusi pendidikan dan menjejaskan keselamatan pelajar lain.

“Budaya sekolah terlalu menekankan pencapaian akademik dan imej. Bila kes berlaku, ada yang takut ia menjejaskan penilaian prestasi atau reputasi di mata ibu bapa dan pihak atasan,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan pentadbir tidak melindungi kes salah laku pelajar atas alasan menjaga imej sekolah susulan peningkatan kes buli dan jenayah keganasan di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, kerajaan juga terbuka memberi kelonggaran kepada guru melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar bermasalah, namun tertakluk syarat dan garis panduan ketat.

Mengulas perkara itu, Sobri berkata kepimpinan sekolah wajar menggunakan kuasa tersebut untuk memperkukuh sistem sokongan dalaman, termasuk memperkasakan guru kaunseling serta membentuk pasukan intervensi khas bagi menangani kes disiplin dan sahsiah pelajar.

“Sekolah mesti beralih daripada menjaga imej kepada menjaga kesejahteraan dan keselamatan pelajar. Itu tanggungjawab utama pendidik,” katanya.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan, pula menegaskan ada pentadbir sekolah memilih tidak melaporkan kes salah laku kerana takut ia menjejaskan penilaian prestasi, peluang naik taraf atau dana pembangunan sekolah.

“Kalau terus dibiarkan, budaya menyembunyikan masalah akan menjadi barah. Pentadbir yang gagal melaporkan kes serius patut dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Beliau menggesa supaya laporan berkaitan salah laku yang disorok atau tidak ditangani didedahkan sebagai pengajaran kepada semua pihak, walaupun tanpa mendedahkan identiti sebenar sekolah terlibat.

“Katakan yang benar walaupun pahit diterima,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda-UKM), Anuar Ahmad, menyifatkan kecenderungan menjaga imej sekolah berpunca daripada ‘budaya persaingan seperti perniagaan’ yang telah lama berakar dalam sistem pendidikan negara.

“Kita terlalu menilai sekolah berdasarkan ranking, pencapaian akademik dan statistik disiplin. Sekolah yang bermasalah dilihat ‘tidak hebat’, jadi pentadbir pilih untuk sorok kelemahan,” katanya.

Namun katanya, pemberian autonomi hanya akan berkesan jika ia disertai pelantikan pemimpin sekolah yang benar-benar berkelayakan, berani dan berintegriti.

“Autonomi tanpa merit hanya mengulangi budaya takut dan tutup masalah,” katanya.

Anuar turut mengingatkan hubungan antara sekolah dan ibu bapa mesti diperkuat supaya dua pihak sama-sama bertanggungjawab membentuk sahsiah anak-anak.

“Sekolah hanya sistem sokongan, tetapi ibu bapalah yang menjadi teras. Kalau dua-dua pihak berfungsi dengan baik, barulah budaya positif dapat dibina,” katanya.

Beliau mencadangkan, KPM memperuntukkan dana khusus kepada PIBG bagi memperkukuh aktiviti bersama sekolah.

“Perlu ada penglibatan PIBG, bukan saja untuk mencari dana sekolah tetapi lebih kepada bagaimana menyelesaikan isu anak-anak di sekolah dengan lebih berkesan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.