
Kes buli, dera, bergaduh atau bertikam melibatkan pelajar sekolah sehingga membawa maut makin hari makin kecoh. Keyakinan orang ramai terhadap keselamatan anak mereka di sekolah atau asrama semakin pudar.
Seperti kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lalu, ‘sistem pendidikan negara sudah cacat’. Justeru, siapa yang kita nak salahkan? Ya! Kalau kita tak habis-habis nak main politik, senang saja.
Salahkan kementerian atau paling sedap – salahkan menteri yang menjawat portfolio tersebut. Salahkan Fadhlina Sidek.
“Dia tak buat kerja!”
“Letak jawatan!”
“Fadhlina Sidek gagal!”
Tapi betulkah semua yang berlakunya salah Fadhlina seorang? Padahal sejak zaman dahulu sudah ada kes gaduh atau ‘ragging’. Kes pelajar kena ‘ragging’ sehingga mati di Sekolah Teknik Cheras pada 1988 berlaku waktu Anwar jadi menteri pendidikan.
Waktu itu belum ada drama bersiri High Council. Pengaruh dari mana pula? Kita pun tercari-cari punca untuk dikambinghitamkan. Nak kata setahun dua ini baru berlaku kes juvana, sekolah pemulihan akhlak pun dah lama tertubuh menandakan memang ada berlaku selama ini. Apa lagi yang tak kena dengan sistem pendidikan?
Benar. Sistem pendidikan kita yang berorientasikan peperiksaan (exam-oriented) juga telah membuatkan matlamat pendidikan kebangsaan sedikit tersasar. Pentadbir sekolah mahukan angka peratusan cemerlang untuk menjadi lebih hebat daripada pesaing (sekolah-sekolah) lain. Saya pernah mengajar. Saya tahu tekanan ini. Di atas kertas statistik, sekolah kita mesti A, jangan corot.
Sewaktu menjadi guru pelatih di maktab perguruan, saya hafal Falsafah Pendidikan Negara (sebelum bertukar menjadi Falsafah Pendidikan Kebangsaan). Bagi ibu bapa atau anda yang belum tahu, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah usaha berterusan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu demi melahirkan insan yang seimbang dalam aspek intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.
Matlamatnya adalah untuk menghasilkan warganegara yang berilmu, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat serta negara.
Nampak? Bolehkah kita semua hayati falsafah ini? Itulah roh sistem pendidikan yang semakin melemah. Bagaimana fizikal mahu sihat jika roh caca-marba? Manusia yang lahir daripada sistem pendidikan yang cacat akan membiakkan generasi yang cacat juga. Lepas tu, tuding jari salahkan Fadhlina. Tak habis-habis main politik, hentam sana hentak sini. Salah sendiri tak nampak.
Sesekali bila berjumpa kawan-kawan saya yang masih mengajar, rata-rata mengaku bahawa mereka sudah ‘laeh’ dengan hal semak-semak ini. Mereka kini hanya tumpukan tugas mengajar sahaja. Itu tugas hakiki. Nak bersungut tentang bebanan kerja perkeranian, sampai dah nak pencen masih tak selesai-selesai. Soal disiplin murid yang makin ke laut dengan kes gaduh, berasmara sehingga mengandung, kes curi – mana yang mampu ditegah, bolehlah buat.
Silap pendekatan, diri sendiri boleh kena pukul dengan pelajar, atau ibu bapa datang bawa ‘lawyer’ ugut nak saman. Nah! Berita cikgu kena gari dengan polis pun ada. Mana muka nak letak? Berapa banyak biji mata di tingkap bilik darjah melihat cikgu masuk ke dalam kereta polis dengan tangan bergari? Mak cik kantin, tukang kebun, pengawal keselamatan pun nampak. Siapa yang simpati? Siapa yang kata padan muka? Adakah rakan sejawat, pihak sekolah, kesatuan guru atau kementerian berdiri membela nasib guru ini?
“Hadaplah kau sorang-sorang. Jadi, tak usahlah nak beria sangat. Budak nak ponteng, dia punya pasallah, Ron!” sungut kawan saya. Dia pun setahun dua lagi nak pencen. Silap-silap nanti pencen pun sangkut, katanya.
Daripada asyik mengutuk Fadhlina, apa kata kita tengok dulu anak-anak kita di rumah. Minat sangatkah nak belajar? Ada kita tegah dan marah bila anak-anak celik saja mata waktu pagi terus menghadap ‘games’? Mandi, makan-minum pun dia tak hairan. Berani tegur anak-anak kita? Kita mak-ayah pun banyak habiskan masa dengan ‘handphone’.
Masing-masing dengan dunia sendiri. Duduk semeja tapi dunia lain-lain. Anak kecil yang masih merangkak pun melekat di skrin gajet sebab tak mahu dia ganggu kita yang hendak melayan medsos. Bukan apa, kita sedang sibuk melayar berita kes disipin di sekolah dan nak komen mengutuk Fadhlina.
Fadhlina, si menteri pendidikan itu satu hal lain. Dia bekerja di peringkat dasar dan pelaksanaan. Sebagai menteri, dia seharusnya kena jadi hebat. Portfolio ini bukan ‘kecik anak’ nak kena jaga. Bayangkan dari pra-sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi, dia kena jaga.
Dari sekolah rendah kebangsaan hingga jenis kebangsaan, sekolah agama semua pun tergalas di bahu dia. Dari Perlis sampai ke Sabah itu tanggungjawab dia. Fadhlina kena bijak, lasak dan jangan berlagak atau cepat melalak.
Perlu diingat, kebanyakan perdana menteri datangnya dari Kementerian Pendidikan. Dari Abdul Razak, Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad, Anwar, Abdullah Badawi, Najib Razak malah Muhyiddin Yassin semuanya pernah duduk di kementerian penting itu.
Kementerian Pendidikan ibarat institusi latihan bagi menteri untuk menjaga keseluruhan rakyat sebelum mereka naik menjadi PM menjaga negara. Kalau rasa tak ‘fit’ dan terlalu berat nak dibawa dek badan, boleh sahaja berundur. Maszlee Malik pernah berundur ketika beban ‘dari atasan’ terlalu berat. Tak ada salahnya.
Setiap individu di Malaysia ada kaitannya dengan sistem pendidikan. Dari kecil sampai dewasa, apa saja kaum dan agama semua pergi sekolah. Kalau ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah mengambil sikap cuci tangan dan lepaskan semua tanggungjawab di sekolah untuk didik anak kita, tak betullah! Yang mampu hantar anak ke sekolah swasta pula ada yang kata lebih senang – saya bayar, jadi cikgu kena dengar saya bukan saya dengar cikgu. Begitu pulak! Bagaimana tu? Anda nilaikanlah!
“Cikgu, tolonglah nasihatkan anak saya. Dia kata selagi saya tak belikan motosikal untuknya, dia tak mahu pergi sekolah,” rayu seorang ibu kepada saya suatu ketika dulu. Aik? Takkan saya nak kena campur juga? Takkan ibu atau ayah tak mampu betulkan anak sendiri?
“Saya bolehlah cakapkan.” kata saya.
“Tolonglah, cikgu. Saya pernah marah tapi anak saya lari. Dia lari ke rumah pakcik dia iaitu adik saya, nun di Pahang.” sampuk si bapa. Lemah benar bunyinya.
“Saya takut anak saya lari, cikgu.” rayu si emak lagi. Emak yang menjadi amah kepada anaknya.
Saya hanya mampu menggeleng kepala. Ini macam, anak sudah berkuasa. Mak ayah pun takut nak menegur. Teringat sabda Nabi, tanda akhir zaman salah satunya ialah apabila ibu melahirkan tuannya. Dulu masa remaja saya tak faham apa maksud ungkapan tersebut. Peristiwa ibu bapa memujuk saya itu akhirnya membuat saya mengerti apa isyarat yang disampaikan. Oh! Inilah maksudnya.
Itulah juga yang telah diperikan – anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkannya mahu jadi apa. Mungkin ibu dan bapa berbangga si anak hafal doa makan tetapi tak sedar, si anak tak pernah makan sampai habis sehingga membazir. Dia mahu anaknya hebat menghafal ‘berkatilah rezeki kami’ tetapi praktikal untuk membuat rezekinya berkat adalah dengan melakukan pembaziran (?).
Maaf jika tulisan kali ini nampak lebih emosional dan lebih lepas tak berbunga-bunga atau tak berbentuk analisis. Sebagai bekas guru, sedikit sebanyak ia mengganggu perasaan saya juga. Kita dah penat dengan teori dan analisis sedangkan perubahannya masih juga lambat.
Kita wajib faham dan sedar bahawa pendidikan awal bermula di rumah. Kalau gagal memupuk anak di rumah, takkan salah Fadhlina? Tukar sepuluh kali Fadhlina pun takkan selesai. Sejak zaman Razak jadi menteri pendidikan hingga zaman Fadhlina tetap ada sahaja kes gaduh dan kurang ajar.
Cuma, zaman internet ia lebih cepat dan lebih luas tersebar. Kekurangan di sekolah dan keterbatasan guru itu satu perkara lain. Pokok asasnya ialah pendidikan awal dipupuk di rumah. Anak-anak kita membawa budaya dari rumah dan mengumpulkannya di dalam sebuah kawasan yang dipanggil sekolah. Di sana mereka bertembung.
Jika semua membawa budaya yang baik dari rumah, keadaan akan jadi lebih baik. Rumah kita itu ibarat kementerian pendidikan juga. Ketua keluarga itulah menteri pendidikan. Ibu dan bapa.
Tahu tak? Faham, kan? Kalau ibu bapa sendiri takut anak cabut lari apabila ditegur kesalahan mereka, bagaimana? Dah tu, fikirlah. Ingat senang jadi menteri pendidikan?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.