1,219 laporan salah laku pelajar di Selangor tahun ini

1,219 laporan salah laku pelajar di Selangor tahun ini

Polis berkata kertas siasatan hanya dibuka untuk 41 kes, dengan 32 berkaitan jenayah kekerasan dan baki dikaitkan dengan buli.

Timbalan Ketua Polis Selangor Zaini Abu Hassan (dua dari kanan) pada pelancaran kempen antibuli di SMK Shah Alam, Bukit Jelutong hari ini.
SHAH ALAM:
Jabatan Pendidikan Selangor menerima 1,219 aduan salah laku membabitkan pelajar setakat tahun ini, dengan 265 laporan berkaitan buli.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Zaini Abu Hassan, berkata kertas siasatan dibuka untuk 41 kes, dengan 32 daripadanya berkaitan jenayah kekerasan dan baki dikaitkan dengan buli.

Tetapi, katanya, sebahagian besar sekolah di Selangor kekal selamat kerana bilangan laporan salah laku hanya sebahagian kecil daripada jumlah pelajar di negeri ini.

“Kami mempunyai kira-kira 997,000 pelajar di Selangor. Bukan mudah untuk 6,000 guru menguruskannya.

“Jadi, nisbah aduan salah laku kepada populasi pelajar hanya 0.0012%. Ini menunjukkan keselamatan sekolah di Selangor sangat baik.

“Hanya terdapat satu atau dua kes serius mewujudkan persepsi sangat buruk, tetapi kami akan menyahut cabaran ini dan terus menambah baik (keselamatan di sekolah),” katanya selepas melancarkan kempen antibuli di SMK Shah Alam, Bukit Jelutong.

“Beberapa kes membabitkan gengsterisme, tetapi tiada yang membimbangkan. Kebanyakannya konflik antara pelajar senior dan junior, seperti bergaduh dengan objek pada sesi sukan, sebagai contoh.”

Zaini berkata, polis mengambil langkah meningkatkan keselamatan, termasuk melakukan rondaan di kawasan sekolah dan pemeriksaan mengejut di asrama bermasalah.

Menurutnya, menjadi amalan di Selangor untuk polis menempatkan pegawai perhubungan dalam persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

Katanya, polis akan mengesyorkan inisiatif ini diperluaskan ke seluruh negara dan pertemuan dengan pegawai Kementerian Pendidikan dijangka berlangsung esok untuk membincangkan peningkatan keselamatan di sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.