
Remaja yang dirahsiakan nama demi keselamatannya berkata, kumpulan pelajar sekolah sama yang dikenali semua orang sebagai gengster itu kerap memeras ugut pelajar lain, menurut rakan-rakannya.
Bapanya membuat laporan polis empat hari selepas melihat lebam di lengan anaknya dan menggesa polis mempercepatkan siasatan.
Pegawai penyiasat di Balai Polis Mutiara Damansara yang enggan dinamakan memaklumkan FMT, kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Selangor minggu depan.
FMT tidak menamakan sekolah itu sementara menunggu maklum balas mereka.
Jumpa di tangga
Pelajar lelaki itu memberitahu FMT satu insiden pada waktu rehat ketika dia sedang menaiki tangga ke kelasnya.
Menurutnya, dia didatangi seorang pelajar Tingkatan 5 yang menarik bajunya dan menuntut wang sambil mengugut akan menumbuk mukanya.
“Saya beri dia RM5, tapi dia tetap tumbuk lengan kanan saya,” kata pelajar itu sambil menambah dua pelajar lain menunggu di tingkat atas dan tiga lagi di tingkat bawah untuk memastikan dia menyerahkan wang sakunya.
Katanya, hari berikutnya pada waktu rehat, dia sekali lagi didatangi pelajar sama dekat tangga.
“Aku pecahkan muka kau”
“Dia tuduh saya beritahu orang lain apa yang berlaku. Kemudian, dia tumbuk lengan kiri saya dan ambil RM8 lagi. Dia turut beri amaran: ‘Kalau kau beritahu ayah kau, aku pecahkan muka kau’.”
Mangsa mendakwa kumpulan pelajar sama sering memeras ugut pelajar lain, berdasarkan maklumat rakan-rakannya. Mereka juga kerap dilihat merokok dalam tandas hampir setiap hari.
Remaja itu berkata, bapanya yang berusia 43 tahun mula menyedari lebam di kedua-dua lengannya dan ingin tahu apa yang berlaku, sebelum dia mendedahkan dipukul dan diperas ugut.
Kerani dari Selayang itu berkata, beliau membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara pada 22 Feb lalu dan membawa anaknya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Mesyuarat ibu bapa
“Pihak sekolah memanggil ibu bapa lima pelajar terbabit untuk menghadiri mesyuarat pada 26 Feb lalu. Pelajar itu mengaku mereka memukul anak saya,” kata bapa mangsa.
Menurutnya, ibu bapa pelajar terbabit merayu beliau menarik balik laporan polisnya.
“Saya hampir menarik balik laporan itu sehinggalah seorang pelajar terbabit tiba-tiba menyerang anak saya betul-betul di depan polis. Ketika itulah saya nekad tidak menarik balik laporan berkenaan.”
Lelaki itu mendakwa pelajar terbabit hanya digantung sekolah selama dua minggu sebelum kembali ke sekolah semula.
Remaja terbabit berkata, dia masih trauma dan ketakutan serta tidak lagi ke tandas sekolah bersendirian. Dia juga takut ke sekolah.
Dia berharap dapat ke sekolah vokasional atau teknikal tahun depan.
“Sehingga itu, saya hanya berharap tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada saya.”