
Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata dalam pautan video itu, Akmal dikatakan mengeluarkan kenyataan dipercayai boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat dan menggugat ketenteraman awam.

“Pada 12 Ogos lepas, polis menerima satu laporan dibuat di Bukit Mertajam berkaitan pautan video yang ditularkan tersebut.
“Polis bertindak memulakan siasatan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama.
Azizee berkata, siasatan awal dijalankan polis dan hari ini kes diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
Beliau berkata, setakat ini dua laporan polis dibuat orang awam di Pulau Pinang dan disiasat bawah kedua-dua peruntukan undang-undang tersebut.
Difahamkan, akaun Facebook itu merujuk kepada laman sosial milik Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.
Sementara itu, Akmal menerusi Facebooknya mengesahkan dihubungi pegawai penyiasat Bukit Aman untuk hadir memberi keterangan 11 malam ini di IPD Dang Wangi.