3 disyaki menyamar polis, samun ditahan

3 disyaki menyamar polis, samun ditahan

Seorang lelaki lapor tiga suspek mengacukan sepucuk pistol serta merampas kad pengenalan, telefon bimbit dan dompet.

Ketua Polis Brickfields Hoo Chang Hook umum penahanan tiga lelaki disyaki melakukan samun dan menyamar sebagai anggota polis. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Tiga lelaki ditahan di Jalan Kampung Pasir awal pagi tadi kerana disyaki melakukan samun menggunakan senjata api tiruan dan menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Brickfields Hoo Chang Hook berkata dalam kejadian pada 3.30 pagi itu, sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal Balai Polis Pantai membuat rondaan di Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam dan terserempak dengan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Seorang daripada lelaki tempatan itu melaporkan tiga suspek mengacukan sepucuk pistol serta merampas kad pengenalan, telefon bimbit dan dompet miliknya.

“Suspek kemudian cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal namun berjaya ditahan oleh pasukan polis yang bertindak pantas di lokasi,” menurutnya.

Polis turut menemukan beberapa barangan dirampas iaitu sepucuk pemetik api berbentuk pistol (pistol tiruan), serta beberapa barangan peribadi mangsa yang berusia 17 tahun seperti telefon bimbit, dompet dan beg.

“Turut dirampas dua motosikal yang digunakan suspek berusia 26 hingga 35 tahun dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Hoo berkata kumpulan itu ialah menyasarkan penunggang motosikal atau individu bersendirian, dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis. Mereka aktif sejak enam bulan lepas.

“Suspek kemudian akan menunjukkan pistol tiruan kepada mangsa dan melakukan pemerasan wang tunai atau barangan peribadi serta mengugut untuk dibawa ke balai polis jika enggan berkerjasama,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk masih dikehendaki bersabit kes di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.