Polis Miri klasifikasi NFA, video tular gurauan bukan buli

Polis Miri klasifikasi NFA, video tular gurauan bukan buli

Walaupun dikatakan hanya 'gurauan', menteri KBS arah pelajar terbabit jalani kaunseling dan insiden tetap disiasat rapi.

buli ikbn
Polis berkata, IKBN Miri juga buat siasatan awal dan sahkan kejadian merupakan gurauan keterlaluan, bukan libat buli.
PETALING JAYA:
Polis menutup kes tular memaparkan sekumpulan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Miri, Sarawak, mengangkat seorang rakan mereka dalam keadaan terkangkang sehingga terkena tiang, sekali gus mengklasifikasikannya sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA).

Ketua Polis Miri Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan mendapati insiden itu bukan berkaitan buli, sebaliknya gurauan sempena sambutan hari lahir pelajar yang dikatakan menjadi mangsa pada 19 Sept.

“Pada 23 Sept, seorang pelajar yang didakwa sebagai mangsa dalam video berkenaan juga hadir bersama ibu bapanya membuat laporan polis.

“Pelajar tersebut menafikan dirinya dibuli … tanpa sebarang unsur paksaan atau penderaan,” katanya dalam kenyataan.

Farhan berkata, perkara ini turut disahkan oleh timbalan pengarah hal ehwal pelajar di institut itu, yang mendapati menerusi siasatan awal bahawa insiden itu hanya melibatkan gurauan keterlaluan.

Tambahnya, pihak institusi tersebut memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pelajar terlibat dan kes masih disiasat kementerian berwajib.

Sehubungan itu, Farhan berkata,  polis memandang sebarang kes jenayah buli secara serius dan tegas kerana ia boleh mendatangkan kecederaan fizikal, trauma, serta menggugat keharmonian masyarakat.

Katanya, IPD Miri akan terus memantau perkembangan kes itu dan akan bertindak sekiranya terdapat laporan atau bukti baharu menunjukkan wujudnya unsur jenayah buli.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada sidang akhbar hari ini berkata, semua pelajar IKBN terbabit diarah menjalani kaunseling, dengan sesi pertama dijalankan pada 12.30 tengah hari tadi.

Katanya lagi, sebuah jawatankuasa khas yang diketuai timbalan ketua setiausaha kementerian tiba di Miri pada 9 pagi tadi untuk menyiasat insiden itu.

“Susulan perbincangan bersama polis dan ibu bapa pelajar, kami setuju buat tiga penambahbaikan segera, iaitu lantik pegawai perhubungan polis di institut terbabit, polis adakan ceramah antibuli untuk semua pelajar setiap tiga bulan, dan sediakan peti aduan di institut itu,” katanya.

Mengulas status penggantungan pelajar terbabit, Yeoh berkata, siasatan masih dijalankan dan timbalan ketua setiausaha kementerian sedang dalam proses menemu bual pihak berkaitan.

Katanya, lembaga disiplin pelajar institut itu, yang dipengerusikan pengarahnya, akan bermesyuarat segera bagi menentukan hukuman yang wajar.

“Walaupun dalam kes ini pelajar terbabit kata hanya gurauan, saya tidak percaya. Jika ada kecederaan atau unsur jenayah, (insiden) ini perlu disiasat dengan teliti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.