Rogol: Saifuddin bidas pihak kecam ketua polis Kelantan

Rogol: Saifuddin bidas pihak kecam ketua polis Kelantan

Menteri dalam negeri berkata cadangan itu berdasarkan angka dan statistik kes di Kelantan.

Saifuddin Nasution
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan ketua polis Kelantan adalah pandangan peribadi.
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan cadangan Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berhubung tindakan terhadap pelaku jenayah seksual bawah umur dengan kerelaan, atau suka sama suka, sebagai pandangan peribadi.

Bercakap pada sidang media selepas melakukan tinjauan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara sempena hari pertama penggantian cip MyKad rosak percuma, beliau berkata cadangan itu adalah berdasarkan angka dan statistik kes tersebut di Kelantan.

“Itu pendapat beliau…belum sampai masanya untuk saya bagi komen apa-apa…Yusoff bagi pandangan berasaskan kepada angka-angka yang berlaku di Kelantan,” katanya.

Ketua polis Kelantan itu mencadangkan satu perbincangan diadakan mengenai isu kes rogol ‘suka sama suka’ supaya tindakan diambil kepada pasangan terbabit dan bukan hanya terhadap pihak lelaki.

Dalam pada itu, Saifuddin membidas tindakan segelintir pihak termasuk kumpulan hak asasi manusia yang mengeluarkan kenyataan mengecam cadangan Yusoff.

“Polis luka, kena baling serpihan batu, senyap, sepi…tak ada satu ulasan pun daripada kumpulan ini…nak jadi pejuang hak asasi ini, kena jadi semua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.