
Ketua Polis Negara Khalid Ismail, berkata kumpulan itu yang aktif sejak 2023 dengan 33 ahli dan seorang dalang warga Malaysia, dipercayai terbabit dalam siri jenayah ganas termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, khianat dengan api, dan rompakan berkumpulan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, dan Perak.
“Pada awal 2025, kumpulan ini mencetuskan kebimbangan umum apabila rakaman serangan bersenjata api dan barang terhadap dua lelaki di hadapan sebuah kedai di Taman Sentosa, Klang tular di media sosial.
“Insiden tersebut berpunca daripada perebutan kawasan dan perselisihan faham antara kumpulan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.
Khalid berkata, 17 suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun dari dua kumpulan berasingan berkenaan ditahan dalam satu operasi dinamakan Op Jack Sparrow di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
Apabila diminta menjelaskan jumlah kumpulan yang terlibat, beliau berkata polis hanya menyebut kumpulan utama buat masa ini.
“saya rasa mungkin masyarakat sedia maklum ada beberapa nama-nama kumpulan. Tapi, kita tidak pernah mengiktiraf mana-mana kumpulan.
“Buat sementara ini kita tidak mahu mendedahkan apa mana-mana kumpulan.”
Beliau berkata, semua suspek mempunyai 80 rekod jenayah dan 34 rekod berkaitan dadah.
“Kita mencari enam lagi sasaran yang boleh membantu siasatan kita.”
Beliau berkata, polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana keanggotaan dalam kumpulan jenayah terancang, serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Dalam perkembangan berasingan, Khalid berkata lebih banyak serbuan akan dijalankan di beberapa negeri selepas polis menumpaskan satu sindiket dadah dan merampas 3,586kg ekstasi bernilai RM598.9 juta dalam serbuan di seluruh Lembah Klang, pada 10 Sept.
Beliau berkata, polis Malaysia juga berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengenal pasti mereka yang dikaitkan dengan lelaki rakyat tempatan yang ditahan di Sadao, Thailand, pada 31 Ogos melibatkan dua raifal dan ratusan peluru.
Berdasarkan laporan sebelum ini, suspek berusia 46 tahun itu ditahan di sekatan jalan raya bersama dua raifal, 300 butir peluru 5.56mm, tujuh kelopak 5.56mm, 100 butir peluru berkaliber .45, dan 50 butir peluru 9mm di dalam kereta Kia yang didaftarkan di Malaysia.