PKR ada ‘peluru’ tapi terlalu berhati-hati, kata penganalisis

PKR ada ‘peluru’ tapi terlalu berhati-hati, kata penganalisis

Awang Azman Awang Pawi kata PKR terlalu bergantung pada mesej yang teknokratik, dan bimbang serangan agresif akan dianggap 'anti-Melayu'.

pkr
Bekas timbalan presiden Rafizi Ramli gesa PKR amal strategi lebih agresif jika mahu menang dalam PRU16. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PKR memiliki sumber untuk melancarkan kempen agresif bagi PRU16 tetapi kurang kawalan ke atas naratif malah terlalu berhati-hati dalam menyampaikan mesej, kata penganalisis.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata parti itu memiliki pemimpin berkaliber, pencapaian yang jelas dan bahan mencukupi untuk menggugat pembangkang.

Namun, beliau berkata PKR terlalu bergantung pada mesej rasional dan teknokratik, lalu gagal menyentuh emosi pengundi.

Parti itu juga bimbang serangan yang terlalu agresif akan dianggap sebagai ‘anti-Melayu’ atau tidak bermaruah.

“Jika PKR benar-benar mahu menggunakan pendekatan hibrid, ia mesti menempatkan jurucakap agresif tetapi berdisiplin, mengawal naratif merentasi media arus perdana dan sosial secara terjalin, serta menyerang dan membalas serangan, bukan hanya bertahan,” katanya kepada FMT.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Awang Pawi.

“Untuk PRU, PKR mesti faham bahawa mereka tidak boleh hanya bertahan. Bertahan tanpa serangan tidak akan memenangi perang persepsi,” tambahnya.

Awang Azman mengulas cadangan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, yang menggesa parti itu mengamalkan strategi politik yang lebih agresif jika mahu menang dalam PRU akan datang.

Rafizi menyatakan pendekatan parti seharusnya menggabungkan pemaparan pencapaian kerajaan dengan pendedahan kelemahan pembangkang.

“Cadangan Rafizi betul, tetapi ironinya, beliau juga sebahagian daripada punca kepada naratif politik PKR yang lembap,” kata Awang Azman.

Kenyataan yang tidak membantu ketika dalam kerajaan, seperti ‘kerajaan bukan mesin subsidi’ dan ‘gaji minimum menyemarakkan inflasi’, turut menjejaskan imej parti.

Menurut beliau, PKR sepatutnya mengambil pendekatan ofensif lebih awal lagi.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata pilihan raya lalu menunjukkan risiko bergantung pada satu strategi sahaja.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Beliau menyatakan kempen Barisan Nasional pada 2013 gagal kerana pengundi tidak merasakan mereka benar-benar diambil berat meskipun dijanjikan pelbagai pembangunan, manakala kemenangan Pakatan Harapan pada 2018 menggabungkan serangan terhadap 1MDB dengan naratif perubahan yang menyatukan.

Pada 2022, lonjakan Perikatan Nasional menunjukkan bahawa nilai, moral, dan politik identiti masih sangat kuat dalam kalangan pengundi Melayu, katanya.

“Jadi, untuk PRU16, segalanya adalah tentang keseimbangan antara menunjukkan pencapaian kerajaan dan memikirkan naratif tentang nilai-nilai yang boleh menyatukan rakyat Malaysia, bukan hanya memberitahu,” katanya.

“Kita tidak boleh memandang rendah rakyat kerana mereka melihat lebih daripada sekadar pembangunan. Itu mengingatkan kita mengapa 2013 juga bukan tahun yang baik untuk BN.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.