Banyak ‘payung besar’ akan pecahkan orang Melayu, kata Dr M

Banyak ‘payung besar’ akan pecahkan orang Melayu, kata Dr M

Bekas perdana menteri berkata hanya satu payung boleh menyatukan orang Melayu untuk berkuasa.

Tun Dr Mahathir Mohamad
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata jika setiap pemimpin membentuk ‘payung besar’ mereka sendiri, orang Melayu akan berpecah kepada kem berbeza.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi amaran orang Melayu akan berpecah kepada kem berbeza sekiranya setiap pemimpin menubuhkan ‘payung besar’ politik mereka sendiri.

Walaupun sokongan terhadap cadangan payung besar amat menggalakkan, Mahathir berkata kini setiap individu yang bercita-cita mahu menjadi perdana menteri sedang membina payung besar masing-masing.

“Dengan itu akan terdapat dua, tiga atau lebih payung besar. Dan orang Melayu pun akan sokong dan jadi anggota payung-payung ini.

“Seperti dengan keanggotaan dalam parti, orang Melayu akan berpecah. Maka payung besar pun memecah belah orang Melayu,” katanya dalam hantaran di X.

Mahathir berkata orang Melayu cukup kuat untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan, tetapi hanya jika mereka bersatu di bawah satu platform.

“Percayalah jika ada lebih dari satu payung besar hasilnya perpecahan dan kekalahan,” katanya.

Namun, bekas presiden Umno dan pengerusi Bersatu itu menegaskan bahawa matlamatnya bukan untuk membentuk kerajaan yang semata-mata terdiri daripada orang Melayu.

“Seperti dengan Perikatan dahulu, kerajaan campuran boleh didiri dengan kaum Cina, India dan suku kaum lain,” katanya, merujuk kepada Parti Perikatan yang ditubuhkan pada 1952 antara Umno, MCA dan MIC yang memenangi pilihan raya persekutuan pertama.

Kenyataan Mahathir itu dibuat meskipun beliau melancarkan sebuah ‘jawatankuasa sekretariat orang Melayu’ dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’ dalam kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa gerakan tersebut bukan bermotifkan politik, sebaliknya bertujuan menjadi platform untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi orang Melayu yang didakwanya gagal ditangani kerajaan semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.