
Beliau berkata walaupun pembubaran DUN adalah hak dan kuasa negeri, mengadakan pilihan raya serentak dapat menjimatkan kos dan menyelaraskan semula tempoh penggal kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan, lapor Berita Harian.
Loke berkata perkara itu sudah menjadi kebiasaan sehingga 2021 dan 2022, merujuk kepada Melaka dan Johor yang mengadakan PRN pada November 2021 dan Mac 2022.
“Ia dapat menjimatkan kos, selain penggal dapat diselaraskan. Bagi saya, kerajaan negeri bawah Pakatan Harapan (PH) harus berbincang dengan kerajaan persekutuan supaya PRU16 diadakan serentak,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
PRU15 berlangsung pada 19 Nov 2022, tetapi Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah memilih menangguhkan pilihan raya negeri masing-masing kerana bimbang musim banjir. Enam negeri itu akhirnya mengadakan pilihan raya pada 12 Ogos 2023.
Hanya pilihan raya Perlis, Perak dan Pahang diadakan serentak dengan PRU15.
Data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menunjukkan kerajaan membelanjakan RM725 juta untuk mengadakan PRU15, manakala PRN enam negeri itu menelan kos tambahan RM420 juta.
Loke berkata cadangan itu belum dibincangkan dengan parti komponen lain dalam PH, namun percaya ia juga seiring dengan kepentingan gabungan tersebut.
Menteri pengangkutan itu menambah bahawa DAP bersedia sekiranya PRU16 diadakan sebelum tamat penggal Parlimen semasa pada Disember 2027.