Masalah politik Melayu bukan banyak ‘payung besar’, tapi berpecah, kata penganalisis

Masalah politik Melayu bukan banyak ‘payung besar’, tapi berpecah, kata penganalisis

Azmi Hassan ulas amaran Dr Mahathir Mohamad sambil menegaskan objektif sama seharusnya menyatukan entiti politik Melayu, bukan memecahbelahkan.

MAHATHIR PC
Dr Mahathir Mohamad pada Jun melancarkan Sekretariat Orang Melayu sebagai badan payung untuk menghimpunkan semua orang Melayu dan memulihkan kuasa politik mereka.
PETALING JAYA:
Isu sebenar dalam politik Melayu bukan kerana wujud terlalu banyak ‘payung besar’, namun disebabkan entiti itu berpecah walaupun membawa objektif sama, kata seorang penganalisis.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata kebimbangan terlalu banyak ‘payung besar’ disuarakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semalam bukan isu utama dalam menyatukan orang Melayu.

“Bagi saya masalahnya bukan ‘payung’ ini yang banyak tetapi berpecah, mereka mengatakan mahu menjaga kepentingan orang Melayu namun berlainan cara.

“Tetapi kalau mereka mempunyai objektif sama untuk menjaga kepentingan orang Melayu, mereka sebenarnya boleh bergabung dalam hal ini,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir yang memberi amaran orang Melayu akan berpecah kepada kem berbeza sekiranya setiap pemimpin menubuhkan ‘payung besar’ politik mereka sendiri.

Walaupun sokongan terhadap cadangan payung besar amat menggalakkan, Mahathir berkata kini setiap individu yang bercita-cita mahu menjadi perdana menteri sedang membina payung besar masing-masing.

Kenyataan Mahathir itu dibuat meskipun beliau melancarkan sebuah ‘jawatankuasa sekretariat orang Melayu’ dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’ dalam kerajaan.

Beliau menegaskan gerakan itu bukan bermotifkan politik sebaliknya menjadi platform menyelesaikan masalah dihadapi orang Melayu yang didakwanya gagal ditangani kerajaan semasa.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk tidak akan mencapai kestabilan politik sekiranya kuasa pemerintahan hanya berpusat pada parti Melayu.

Menurutnya, kestabilan hanya boleh dicapai melalui kerjasama antara parti dan bangsa berbeza, bukan melalui penyatuan satu kaum semata-mata.

“Tak cukup untuk Melayu sahaja bersatu, kena bekerjasama dengan bangsa dan lain. Barulah stabil,” katanya.

Namun beliau tidak menolak untuk diadakan payung besar bagi menyelesaikan masalah Melayu namun semua pihak dalam pentadbiran kerajaan perlu menjalinkan kerjasama.

“Kita bukan negara mono-etnik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.