
Dalam muktamar itu, Ahli Majlis Ulama PAS Pulau Pinang, Shafirul Rozani, menggesa jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang diambil alih daripada Presiden Gerakan, Dominic Lau.
Lau, yang juga timbalan pengerusi PN, sebelum ini turut diminta seorang pemimpin PAS untuk meninggalkan sebuah ceramah selepas hadir tanpa jemputan.
Meletakkan sasaran memenangi 80 kerusi Parlimen, hampir dua kali ganda daripada 43 ketika ini, PAS juga meluluskan usul supaya parti itu memimpin PN menjelang PRU16 selain mahu menawan Selangor, Perak dan Pahang.
Bagaimanapun, penganalisis berpendapat keyakinan PAS tidak berasas.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata, muktamar itu sepatutnya menjadi peluang PAS meluaskan sokongan, lebih-lebih lagi apabila ia diperhatikan rakyat berbilang kaum.
“Tetapi, apa yang ditunjukkan ialah sifat angkuh bukannya mengukuhkan kerjasama dengan Bersatu yang bersama mereka pada PRU15. PAS sebaliknya mengetepikan parti itu dan mengkritik Gerakan yang majoritinya Cina,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata tindakan yang memalukan Lau secara terbuka itu hanya menyerlahkan kurangnya sifat inklusif PAS.
“Ia akan mencetuskan tindak balas negatif, bukannya keyakinan,” katanya.
Menurut Hisomuddin, kejayaan PAS pada PRU15 datang daripada tarikan jenama PN, pengaruh Bersatu, serta imej ‘abah’ Muhyiddin Yassin yang diperkuatkan melalui kempen TikTok — bukan kerana logo atau kepimpinan PAS sendiri.
Beliau turut memberi amaran sasaran 80 kerusi tidak realistik kerana untuk bertanding dan menang di kawasan campuran memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, Gerakan tidak boleh dipersalahkan kerana gagal menarik pengundi Cina memandangkan pendirian keras PAS dalam isu agama dan kaum menyukarkan kerjasama politik.
“PAS bertindak seperti raja dalam PN dan merasakan mereka boleh berkata apa sahaja, walaupun ia menjejaskan sekutunya,” katanya.
Hisomuddin berkata, masih wujud ketegangan dalaman PAS antara golongan ulama dan profesional.
Katanya, ulama terus menguasai kepimpinan parti, manakala profesional pula terpaksa meniru gaya pemimpin agama untuk bertahan — sesuatu yang menurut Azmi menjejaskan kredibiliti dan kepelbagaian dalam parti.

Azmi berkata, PAS juga berisiko dipinggirkan pengundi apabila tidak menjalankan kajian psikologi pengundi sebelum muktamar yang berlangsung dari 11 hingga 16 Sept lalu di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.
“Muktamar ini boleh dianggap titik mula untuk kembali ke zaman batu politik mereka.
“Keyakinan melampau dan keangkuhan akan meruntuhkan cita-cita mereka untuk memenangi 80 kerusi atau menguasai lebih banyak negeri,” kata Hisomuddin.
“Sepatutnya ia mengukuh perpaduan, sebaliknya PAS mencipta perpecahan. Itulah kerugian terbesar mereka.”