‘Banyak kerja lain nak buat’, Sanusi pesan ahli PAS jangan berkelahi

‘Banyak kerja lain nak buat’, Sanusi pesan ahli PAS jangan berkelahi

Pengarah pilihan raya PAS berkata, masalah yang timbul perlu diselesaikan segera agar tanggungjawab dapat dilaksana dengan baik.

Sanusi Md Nor
Dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-71 di Kompleks PAS Kedah, Sanusi Md Nor mengingatkan perwakilan betapa besarnya harapan rakyat Malaysia agar parti itu dapat bawa perubahan.
ALOR SETAR:
Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Md Nor menyeru semua ahli parti termasuk wakil rakyat supaya tidak bertelagah sesama sendiri.

Beliau berkata, masalah yang timbul perlu diselesaikan dengan segera agar tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik di kawasan masing-masing.

“Ada masalah yang wakil rakyat tak masuk (kerjasama) dengan (pimpinan) kawasan. Perkara ini perlu diselesaikan cepat, jangan bagi ada (masalah) … di Kedah tak ada (masalah), negeri lain tentu ada, masalah dengan menteri besar pun ada.

“Berhenti berkelahi, setakat hari ini cukup, fokus ke depan, banyak lagi kerja lain kita nak buat, ini berkelahi pula,” katanya dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-71 di Kompleks PAS Kedah.

Sanusi berkata, wakil rakyat PAS sepatutnya menjadi pemudah cara antara kerajaan dan rakyat dalam usaha memperluas pengaruh PAS.

Katanya, wakil rakyat dan pusat khidmat haruslah menjadi saluran mesej PAS kepada rakyat, termasuk tawaran serta kebaikan yang telah dilaksanakan parti itu sejak 71 tahun lalu.

“Wakil rakyat perlu bertindak sebagai pemudah cara, pemboleh, atau enabler, dalam usaha memperluas pengaruh PAS dan mengukuhkan kekuatan parti.

“Wakil rakyat (cakap) betul-betul, tegur depan-depan, jangan kata belakang, nak kata kat saya pun depan-depan lah. Gunakan semua instrumen yang kita ada, bawa mesej ini keluar, jangan dok bawa mesej kita bertembung,” katanya tanpa menyebut wakil rakyat mana yang dimaksudkannya.

Dalam pada itu, menteri besar Kedah itu menggesa ahli parti semua peringkat agar mula menyusun agenda persiapan menghadapi PRU16, yang beliau jangkakan akan diadakan menjelang penghujung 2026.

Beliau turut mengingatkan ahli parti betapa besarnya harapan rakyat Malaysia agar PAS dapat membawa perubahan.

“Mulai hari ini, mesyuarat PAS semua peringkat, mesti letak agenda persiapan dalam semua mesyuarat parti,” katanya.

“Kita dengar macam-macam dari perwakilan, dari media di luar, begitu besarnya harapan rakyat Malaysia kepada PAS, parti yang akan bawa perubahan kepada negara ini.

“Kita selesai masalah di peringkat kita, kita tawar diri kita untuk pikul tanggungjawab menyelamatkan rakyat Malaysia daripada kerakusan kerajaan hari ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.