PAS menang 43 kerusi kerana duit Bersatu, dakwa bekas pegawai Muhyiddin

PAS menang 43 kerusi kerana duit Bersatu, dakwa bekas pegawai Muhyiddin

Marzuki Mohamad berkata sumbangan kewangan diperoleh PAS pada PRU15 ‘bukan sedikit’.

marzuki
Marzuki Mohamad menyifatkan anggaran Sanusi Nor sebanyak RM1 juta adalah ‘serba sedikit’ jika ingin serius menang PRU akan datang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas pegawai kanan Muhyiddin Yassin mendakwa PAS berjaya memenangi jumlah terbesar kerusi Parlimen pada PRU15 hasil bantuan kewangan ditanggung Bersatu.

Marzuki Mohamad berkata, PAS tidak menghadapi masalah besar dalam perbelanjaan pilihan raya itu memandangkan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Katanya, ini kerana semua peralatan pilihan raya itu disediakan PN yang semuanya ditanggung Bersatu, malah sumbangan kewangan diperoleh PAS ketika itu ‘bukan sedikit’.

“Hasilnya, PAS menang 43 kerusi Parlimen iaitu jumlah yang terbesar dalam sejarah PAS sejak 70 tahun berada di persada politik Malaysia.

“Ini hakikat bantuan peralatan dan kewangan yang diberikan oleh Bersatu kepada PAS yang saya percaya Sanusi (Nor) sendiri tahu,” kata bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin di Facebook.

Marzuki mengulas gesaan Sanusi yang juga pengarah pilhan raya PAS supaya penyokong dan ahlinya menyumbang lebih banyak menjelang PRU16 kerana parti itu tidak boleh bergantung kepada derma RM20 lagi.

Menteri besar Kedah berkata, kos berkempen untuk sebuah kerusi Parlimen kini mungkin mencecah RM1 juta dan mempertahankan kerusi sedia ada lebih sukar daripada memenanginya.

Mengulas lanjut, Marzuki menyifatkan anggaran Sanusi sebanyak RM1 juta itu adalah ‘serba sedikit’ jika ingin serius menang PRU akan datang.

“Jumlah ini pula bergantung kepada jumlah pengundi, saiz kawasan Parlimen dan keperluan logistik yang berbeza-beza,” katanya.

Menurutnya, ini belum termasuk kos kajian pilihan raya dan pengiklanan di media, mengendalikan bilik gerakan pilihan raya dan lain-lain kos runcit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.