
Thai memohon supaya perbicaraan dijadualkan bermula esok ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan yang difailkan minggu lalu untuk mendapatkan perintah perlindungan, termasuk permintaan agar semua prosiding dijalankan secara tertutup.
Tan, 64, pengasas bersama dan timbalan pengerusi syarikat gergasi pengeluar sarung tangan itu, menyaman Thai berhubung beberapa mesej teks dan kenyataan lisan didakwa dibuat kepada keluarga dan rakan-rakan tiga tahun lalu – kenyataan yang didakwanya bertujuan memalukan beliau sebagai ibu, ahli keluarga dan pemimpin perniagaan.
Thai, 65, mendakwa perintah perlindungan dimohon perlu untuk melindungi dan memelihara integriti prosiding.
Beliau berkata permohonan perintah perlindungan itu perlu didengar sebelum perbicaraan bermula, jika tidak ia akan menjadi ‘sia-sia’ dan bersifat ‘akademik’, serta menyebabkan ‘kemudaratan dan prejudis yang tidak dapat diperbaiki’.
Permohonan perintah perlindungan itu dijadualkan untuk pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Eddie Yeo esok, iaitu pada hari yang sama perbicaraan sepatutnya bermula.
Kes ini menimbulkan persoalan undang-undang signifikan dan mungkin belum pernah berlaku di Malaysia iaitu bolehkah seorang defendan dituduh mencemarkan reputasi awam plaintif dalam saman fitnah, mengehadkan akses awam terhadap prosiding dimulakan oleh plaintif sendiri untuk memulihkan reputasinya?
Thai mendakwa perbicaraan itu melibatkan perkara-perkara sulit dan peribadi. Beliau berkata ia hanya melibatkan hal kekeluargaan dan bukan berkepentingan awam.
Difahamkan beliau akan memanggil beberapa individu terkenal untuk memberi keterangan, termasuk seorang bekas pemain badminton kebangsaan, seorang tokoh korporat ternama dan pengurus kepada artis antarabangsa yang terkenal.
Walaupun tidak menamakan mereka, Thai berkata salah seorang saksi tersebut bakal berkahwin dan tidak mahu hubungan lampau didedahkan kepada umum.
Thai juga memohon langkah perlindungan lain, termasuk perintah semua semua transkrip mahkamah kekal sulit dan hanya boleh diakses oleh pihak-pihak terlibat dan peguam mereka.
Beliau juga mahu semua penulis transkrip menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA).
Tan diwakili oleh peguam S Ravenesan.
Thai dan Tan bersama-sama memiliki Supermax Holdings Sdn Bhd, pemegang saham utama dalam Supermax Corporation Bhd, salah satu pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia.
Mereka berkahwin pada tahun 1987, namun hubungan mereka mulai retak susulan dakwaan daripada kedua-dua pihak.
Pada 2022, Tan memohon perpisahan secara kehakiman. Thai pula memfailkan permohonan cerai pada April tahun lalu. Prosiding tersebut masih berjalan di Mahkamah Tinggi Keluarga.