
Menurut mereka, Najib, 72, boleh memohon pengampunan penuh, namun rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dalam kes 1MDB akan mengambil masa dua hingga tiga tahun lagi sekiranya perkara itu dibawa sehingga ke Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, bagi memohon pengampunan, Najib perlu mengetepikan haknya untuk merayu, kata peguam terbabit.
Peguam Najib, Shafee Abdullah telah memaklumkan kepada hakim perbicaraan 1MDB Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya berhasrat untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman tersebut.
Najib mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan notis rayuan.
Sequerah mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.
Beliau menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun ke atas Najib serta mengenakan denda kira-kira RM11.4 bilion.
Sequerah memerintahkan hukuman penjara bagi kes 1MDB itu hanya bermula selepas tamat tempoh enam tahun penjara Najib dalam kes SRC International berjumlah RM42 juta pada 23 Ogos 2028.
Peguam Abdul Rashid Ismail berkata Akta Penjara dan peraturannya tidak menetapkan had masa yang menghalang seseorang pemohon daripada mengemukakan permohonan pengampunan diraja.
“Undang-undang hanya menyatakan bahawa petisyen boleh dibuat ‘secepat mungkin yang munasabah’,” katanya.
Peguam Kitson Foong berkata Najib tidak boleh mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sekiranya beliau memilih untuk menghabiskan proses rayuan.
“Seseorang tidak boleh memfailkan permohonan pengampunan dan pada masa yang sama memfailkan rayuan. Petisyen belas ihsan oleh seorang banduan hanya bermula selepas hak perundangannya berakhir,” tambahnya.
Pada 22 Disember, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan perintah mandamus untuk memaksa kerajaan memindahkan Najib dari Penjara Kajang dan membenarkannya menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di rumah.
Peguam A Srimurugan berkata Najib juga boleh memfailkan permohonan pengampunan kali kedua bagi kes SRC International kerana undang-undang tidak menghalang pemohon berbuat demikian.
“Ia juga bergantung kepada pendapat bertulis mengenai pengampunan yang diberikan oleh peguam negara, seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan mesyuarat lembaga pengampunan,” katanya.
Srimurugan merujuk kes bekas menteri Mokhtar Hashim, yang disabitkan atas kesalahan membunuh Adun Gemencheh ketika itu, Taha Talib, pada 1982. Hukuman mati Mokhtar kemudiannya diringankan kepada penjara seumur hidup oleh Lembaga Pengampunan Negeri Sembilan.
Beliau menambah bahawa Mokhtar kemudiannya memohon pengampunan, yang menyebabkan hukumannya dikurangkan lagi kepada tempoh penjara tetap, sekali gus membawa kepada pembebasannya pada 1991.