
Peguam bekas perdana menteri itu, Shafee Abdullah, berkata beliau akan memfailkan rayuan pada Isnin terhadap apa yang disifatkannya sebagai ‘kesilapan besar’ dalam penghakiman Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Katanya, terdapat antara “50 hingga 100” perkara yang akan dicabar pihak pembelaan.
Shafee berkata beliau berasa kecewa dengan setiap perkara yang diputuskan oleh hakim berkenaan.
“Kami berpendapat, dengan penuh hormat kepada hakim, beliau telah melakukan terlalu banyak kesilapan dalam penghakiman ini,” katanya pada sidang media di lobi Mahkamah Tinggi.
“Saya menyifatkannya sebagai kesilapan besar kerana pada pandangan saya — anda tidak boleh mempunyai begitu banyak kesilapan dalam satu penghakiman yang begitu penting.”
Shafee juga mendakwa Sequerah menolak setiap bantahan yang dikemukakan pihak pembelaan berkaitan penerimaan keterangan ‘hearsay’ atau dengar cakap sebagai bukti sepanjang perbicaraan.
Beliau berkata, keterangan dengar cakap tidak boleh diterima melainkan ia termasuk dalam pengecualian di bawah Seksyen 32 Akta Keterangan 1950.
Terdahulu, mahkamah mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.
Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan salah guna kuasa, dengan hukuman tersebut berjalan serentak.
Sequerah memerintahkan hukuman penjara itu bermula pada 2028, selepas Najib menamatkan hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Sequerah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan Najib membayar denda denda RM11.387 bilion.