
C4 merujuk penghakiman Mahkamah Tinggi Putrajaya yang menegaskan bagaimana ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, mempunyai pengaruh besar dalam operasi 1MDB walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam syarikat milik kerajaan itu.
Menurutnya, kerajaan pada masa ini masih melantik ahli politik ke jawatan kepimpinan dalam badan berkanun persekutuan dan GLC, yang boleh mencetuskan konflik kepentingan.
“Mahkamah mendapati pegawai 1MDB bertindak mengikut arahan Low kerana mereka benar-benar percaya bahawa Low bertindak atas arahan Najib atau dengan sokongannya.
“Adakah sebarang pembaharuan berkesan telah dilaksanakan dalam pengurusan dan tadbir urus GLC bagi mengelakkan situasi serupa berulang pada masa hadapan?” soal C4 dalam satu kenyataan hari ini.
C4 turut menggesa Putrajaya supaya segera mengekstradisi Low kembali ke Malaysia bagi memastikan dia didakwa atas peranannya dalam skandal 1MDB.
Selain itu, C4 menyeru kerajaan supaya mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam mewujudkan atau menyokong naratif ‘derma Arab’ yang kini terbukti tidak benar berhubung kemasukan sejumlah besar wang ke dalam akaun Najib.
C4 menamakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),Azam Baki dan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, sebagai antara individu yang pernah secara terbuka menyokong naratif derma tersebut.
“Mahkamah menyatakan lawatan SPRM ke Riyadh, di bawah penyeliaan Azam, adalah ‘dirancang lebih awal’ dan merupakan cubaan untuk ‘melengkapkan cerita’ mengenai derma itu.
“Zahid juga pernah menyatakan secara terbuka bahawa beliau telah bertemu wakil keluarga penderma bagi menyokong naratif ‘derma’ tersebut,” katanya.
C4 menegaskan pembaharuan institusi mesti dilaksanakan, termasuk memperkukuh mekanisme pemantauan, membenarkan pelantikan bebas bagi SPRM, mewujudkan pejabat pendakwa raya awam yang bebas serta menggubal undang-undang bagi mengawal selia sumbangan politik.
Semalam, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion terhadap Najib selepas beliau disabitkan kesalahan dalam kes 1MDB.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan hukuman penjara itu bermula pada 2028, selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International.
Mahkamah mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.