
Najib berkata beliau akan terus menuntut haknya melalui saluran yang sah, sambil menambah beliau tetap yakin terhadap proses kehakiman negara meskipun keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.
“Saya memohon semua rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah, serta tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan.
“Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.
“Saya menyeru semua rakyat Malaysia menilai perkara ini dengan tenang dan rasional, bukan semata-mata dari sudut nasib saya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip yang kita junjung bersama,” katanya dalam surat terbuka malam ini.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata apa yang diperjuangkannya adalah menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan Persekutuan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.
“Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara,” katanya.
Surat Najib itu dibacakan oleh peguamnya, Shafee Abdullah, pada sidang media susulan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi di Putrajaya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion terhadap Najib susulan sabitan dalam kes 1MDB.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan hukuman penjara itu bermula pada 2028, selepas Najib menamatkan hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International.
Mahkamah mendapati Najib bersalah atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.